Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KEBENARAN MAKIN HAMPIR DI DEPAN MATA, TAPI JANGANLAH LUPA SIASAT SAMA NASHARUDDIN MAT ISA!!

1. PAS merujuk kepada Kenyataan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 6 Februari 2019 yang bertajuk SPRM SIASAT DAKWAAN WANG RM90 JUTA DARIPADA 1MDB.

2. PAS dengan ini memberi akujanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan (yang kami nafikan sepenuhnya) kononnya wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

3. PAS juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik PAS, sekiranya diminta oleh pihak SPRM untuk tujuan siasatan ini, termasuklah Penyata Akaun-akaun Bank PAS Pusat, bagi membuktikan dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

4. PAS juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnnya mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas, dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.

5. PAS yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta ‘without fear or favour’.

Terima kasih. 

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 06 Februari 2019.

Ulasan Blog – Alhamdulillah, tentunya kita semua boleh menarik nafas lega sekarang ini.

Selepas kecoh-kecoh tanpa kesudahan berhubung kemelut wang RM90 juta yang didakwa pernah diterima Pas daripada Najib Razak serta dikaitkan dengan dana 1MDB, jalan kebenaran nampaknya sudah mula terbentang di depan mata kita semua.

Berikutan penarikan balik saman oleh Hadi Awang terhadap Sarawak Report yang kemudian membuka ruang kepada beberapa individu membuat laporan polis, SPRM dengan pantas mengumumlan kertas siasatan sudah pun dibuka.

Susulannya, Pas juga turut menyatakan keterbukaannya untuk disiasat SPRM serta berjanji akan menyerahkan semua dokumen-dokumen berkaitan seperti penyata bank dan sebagainya.

Nik Abduh Nik Aziz pula menyatakan pihaknya sama sekali tidak tertekan dan mengalu-ngalukan kedatangan SPRM untuk menjalankan siasatan itu.

Dengan yang demikian, SPRM kini tiada  alasan lagi untuk melengah-lengahkan tugas siasatannya. Ini adalah kes kepentingan awam hang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.

Cumanya, selain akaun bank Pas dan beberapa pemimpinnya yang perlu diteliti dan disiasat, SPRM tidak harus lupa untuk menyiasat sama Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang diperkatakan sebelum ini sebagai “orang tengah” dalam penyaluran wang tersebut kepada para pemimpin Pas.

Ketika era Najib, meskipun masih merupakan ahli Pas, Nasharuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Kesederhanaan Global.

Jika benar ada sejumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun bank Nasharuddin, dari situ akan dapat dikesan ke mana wang itu mengalir seterusnya.

Oleh kerana jumlah wang, sama ada yang dikatakan diterimanya atau didakwa diterima oleh beberapa pemimpin Pas yang lain itu adalah dalam jumlah yang besar, sudah tentulah ia menggunakan sistem perbankan yang boleh dijejaki susur-galurnya dengan mudah.

Bermakna, dengan adanya siasatan itu, jika benar Pas atau pemimpinnya ada menerima wang daripada Najib atau UMNO, tidak ada sesiapa yang dapat mengelak daripadanya.

Begitu juga kiranya Pas dan pemimpinnya tidak pernah menerima apa-apa wang daripada Najib atau UMNO, maka nama mereka dengan sendirinya akan dibersihkan melalui siasatan tersebut.

Ertinya, kebenaran yang akan terserlah nanti adalah adil kepada semua pihak.

Hanya yang menjadi persoalan kini, mengapa Husam Musa masih tidak membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan dokumen sahih yang didakwa dimiliknya berkaitan penyaluran wang tersebut?

Bukankah Husam sepatutnya boleh jadi “hero” dalam isu jika beliau tampil membuat laporan kepada SPRM dan membantu siasatan dengan menyerahkan dokumen yang didakwa dimilikinya itu?

Adakah Husam sebagai orang politik tak mahu jadi “hero”?

Atau…..???? (ShahbudinHusin 07/02/2019)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *