Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PERCAYALAH, BERSATU AKAN TUNDUK AKHIRNYA KEPADA KEHENDAK BEKAS PEMIMPIN2 UMNO SABAH

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Hajiji Mohd Nor yang sebelum ini mengetuai kumpulan pemimpin UMNO meninggalkan parti itu, hari ini melahirkan keyakinan Bersatu akan tetap berkembang ke negeri di bawah bayu itu.

Katanya, walaupun Bersatu memberi jaminan akan menghormati perjanjiannya dengan Warisan, ia akhirnya akan tetap bertapak di Sabah.

Katanya, beliau sedang berhubung dengan beberapa pihak dalam Bersatu berkaitan perkara itu.

“Saya cuma boleh beritahu Bersatu tetap akan datang ke Sabah. Saya yakin tak lama lagi,” katanya.

Wowww….nada Hajiji nampaknya begitu yakin sekali!!

Mengulas kenyataan Hajiji itu, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya mengesahkan perbincangan antara Bersatu dengan Warisan sedang berjalan berhubung perkara tersebut.

“Kami sedang dalam proses perbincangan. Kami sedia masuk ke Sabah. Perbincangan masih berjalan,” ujarnya.

Kata Marzuki lagi, sebarang pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas PRK Semenyih pada 2 Mac depan.

Apakah makna semua ini?

Bukankah sebelum ini Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin sudah membuat penegasan bahawa Bersatu tidak akan dikembangkan ke Sabah kerana menghormati perjanjian dengan Warisan?

Jika sudah ada perjanjian, untuk apa diadakan sebarang perbincangan lagi?

Apakah petandanya?

Tidak diragui dalam hal ini Bersatu terlihat mula goyah pendirian berkaitan perjanjiannya dengan Warisan itu.

Ternampak jelas bahawa Bersatu mula lemah lutut dengan pujuk rayu yang berterusan oleh bekas-bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti itu.

Apa faedahnya Bersatu melayan kehendak bekas pemimpin UMNO itu dan sanggup tunduk kepada nafsu mereka?

Kenapa tidak disuruh saja mereka itu masuk Warisan atau lain-lain parti yang sedia wujud di Sabah?

Atau Bersatu sememangnya mahu meninggalkan Warisan kerana lebih terpesona dengan bekas pemimpin UMNO yang keluar parti itu?
Apa pun berdasarkan  perkembangan ini, percayalah, Bersatu akan tetap sampai ke Sabah akhirnya. Pemimpin Bersatu nampaknya mahu mengimbangi kedudukan Warisan di negeri itu.
Kepada Warisan – hati-hati selalu dan bertindaklah seperlunya bila tiba masanya nanti. (ShahbudinHusin 06/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x