BAHAYA KIRANYA ISU KELULUSAN AKADEMIK SETIAUSAHA AGUNG BERSATU TERUS BERLARUTAN HINGGA PRK SEMENYIH

Entah kenapa, tiba-tiba saja isu kelulusan akademik Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya muncul kembali menjadi perhatian di media sosial dan juga media arus perdana.

Sebelum ini, ketika Marzuki dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, isu berkenaan juga pernah timbul tetapi ia “mati” begitu saja tidak lama kemudiannya.

Isu kali ini timbul semula baru-baru ini apabila ada pengguna sosial secara tidak semena-mena dan tidak diketahui sebabnya telah membangkitkan perkara itu yang seterusnya disusuli ada seorang lain membuat laporan polis berkenaan dengannya.

Reaksi awal Marzuki yang mengatakan beliau memang graduan Universiti Cambridge melalui pengajian jarak jauh serta akan menunjukkan bukti berkenaan perkara itu ternampak masih tidak memadai.

Selainnya, Setiausaha Agung Bersatu itu juga menyifatkan isu ini adalah permainan politik dan perlu diselesaikan pihak polis kerana sudah ada laporan polis dibuat berhubung dengannya.

Dalam hal ini, kenapakah Marzuki tidak terus dan segera menunjukkan bukti seperti sijil dan gambar ketika beliau menerima ijazah tersebut?

Mengapa beliau masih mahu menunggu-nunggu lagi sehingga ke peringkat siasatan pihak polis?

Sudah tentu, kiranya beliau dapat menunjukkan bukti itu sekarang juga, isu ini akan selesai dengan sendirinya.

Mudah saja kan?

Isu ini,  jika tidak diselesaikan dengan segera, bukan saja akan meniejaskan kedudukan Bersatu di mana umum kerana Marzuki adalah Setiausaha Agung parti dan anggota pentadbiran kerajaan yang berjawatan Timbalan Menteri Luar Negeri, tetapi juga turut akan memberi kesan kepada PRK Semenyih pada 2 Mac depan.

Peluang Bersatu yang bertanding buat pertama kali dalam pilihanraya kecil pasti akan menjadi sangat sukar di Semenyih itu nanti kerana pembangkang akan menenyeh isu ini semahu-mahunya untuk kepentingan mereka.

Bersama isu lain yang tidak selesai seperti janji manifesto, agenda Melayu, prestasi menteri-menteri dan sebagainya, ditambah dengan isu kelulusan akademik Marzuki ini, Bersatu nyata sedang berada di laluan yang lebih berliku di Semenyih kalau perkara ini tidak ditangani dengan sesegera yang boleh.

Memandangkan ada tempoh kira-kira sebulan lagi sebelum tarikh 2 Mac, Marzuki tidak harus berlengah-lengah atau memandang mudah perkara yang melibatkan isu dirinya sekarang ini.

Kalau isu ini terus berlarutan sehingga mengakibatkan Bersatu kecundang di Semenyih akhirnya, pasti lebih banyak keburukan akan menimpa parti itu dalam fasa-fasa yang seterusnya. (ShahbudinHusin 06/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:13 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments