Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERSATU DAN PKR – PEPAT DI LUAR, RENCONG DI DALAM

Ramai rakyat negara ini, sama ada bekas ahli UMNO atau mereka yang tidak berparti sebelumnya, telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kerja-kerja menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu.

Mereka memilih Bersatu sebagai wadah baru dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara ini daripada terus  terjerumus ke lembah derita yang lebih kronik lagi sekiranya BN tidak disingkirkan.

Sesetengah mereka ini ada yang memilih untuk memegang jawatan dan aktif dalam Bersatu, manakala sebahagian lagi hanya mahu menjadi ahli serta penyokong saja.

Bagaimanapun, rata-ratanya gembira dengan kejayaan PH dapat menumbangkan BN, meskipun Bersatu hanya berbekalkan 13 kerusi Parlimen dalam gabungan itu berbanding 52 kerusi yang ditandinginya.

Atas nama muafakat dan persetujuan bahawa ketika itu Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara, maka Tun Mahathir Mohamad dipersetujui untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri.

Atas persetujuan dan muafakat juga, jawatan Perdana Menteri itu dijanji akan diserahkan kepada Anwar setelah Tun Mahathir memegangnya tidak lebih dua tahun untuk beliau menyelesaikan usaha-usaha menyelamatkan negara terlebih dahulu.

Setelah hampir 9 bulan PH memegang kuasa, apa yang ketara ketika ini, sementara pemulihan negara masih diusahakan dan janji-janji manifesto banyak yang masih tersangkut di tengah jalan, hubungan Bersatu dan PKR seolah-olah sudah bertukar seperti kata pepatah “pepat di luar rencong di dalam”, walaupun berada di dalam gabungan dan kerajaan yang sama.

Ramai penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu secara terbuka tidak suka jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Anwar, manakala penyokong Anwar dalam PKR pula mula curiga kalau-kalau Tun Mahathir mungkir janji berhubung penyerahan kuasa itu.

Tetapi, beberapa pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin Yassin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman misalnya, ternampak begitu komited tentang perlu dan wajibnya penyerahan kuasa itu dilakukan kerana ia adalah janji yang mungkin menimbulkan kebencian rakyat kiranya dimungkiri.

Mereka yang menentang penyerahan kuasa kepada Anwar itu jika diperhalusi matlamatnya, lebih berkepentingan peribadi daripada memikirkan kelangsungan PH sebagai kerajaan lantaran merasakan masa depan mereka akan menjadi gelap sekiranya Tun Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti.

Mereka inilah yang kerap menyanyikan lagu perlunya Tun Mahathir jadi Perdana Menteri sehingga habis penggal serta mereka-reka cerita kononnya Anwar tidak layak sebagai penggantinya.

Termasuk dalam golongan ini adalah mereka yang diketahui rapat dan berada di keliling Tun Mahathir sendiri.

Kadang-kadang terlibat bagaimana mereka bermusuh dengan UMNO, begitulah mereka bermusuh dengan PKR dan Anwar ini dalam waktu yang sama.

Jika Tun Mahathir tidak menonjol-nonjolkan Azmin Ali sejak daripada mula, apakah fenomena ini tetap akan berlaku?
Jika begitu, mengapa Tun Mahathir masih terus menonjol-nonjolkan Azmin dengan terbaru melantiknya sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan? (ShahbudinHusin 01/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x