SEJAK BILA JIWA REFORMASI AZMIN SUDAH DIRESAPI BUDAYA BODEK?

Dua hari lalu, ketika sudah agak lewat malam, Azmin Ali menulis dua hantaran di laman Twitternya seperti berikut:
“PM @chedetofficial berikrar akan berkhidmat hingga ke akhir hayat demi umat dan negara. Alhamdulillah teruskan khidmatmu Tun”.

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana meyakinkan saya bahawa Tun @chedetofficial adalah the best choice untuk memimpin negara”.

Tulisan Timbalan Presiden PKR dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu barangkali adalah sebagai respon terhadap kenyataan Tun Mahathir Mohamad sebelumnya yang mengidamkan pingat KSM atau “Kerja Sampai Mati” dalam hidupnya.

Meski ternampak biasa, beberapa persoalan timbul daripada hantaran yang dibuat oleh  Azmin melalui laman Twitternya itu.

Yang paling menimbulkan persoalan ialah kenapa Azmin begitu mengharapkan Tun Mahathir meneruskan khidmatnya sehingga ke akhir hayat sedangkan sudah ada perjanjian bahawa penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim hendaklah dilakukan dalam tempoh dua kemudiannya?

Apakah Azmin tidak mahu berlaku penyerahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dipersetujui itu?

Apakah sebenarnya yang Azmin harapkan jika Tun Mahathir mampu meneruskan khidmatnya sehingga ke akhir hayat?

Mungkinkah jika Tun Mahathir terus berkhidmat sehingga ke akhir hayatnya, jawatan Perdana Menteri itu tidak singgah ke ribaan Anwar?

Bagaimana jika hayat Tun Mahathir berakhir dalam tempoh dua tahun ini?
Kemudian, tulisan Azmin itu turut mengundang reaksi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan isu Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir adalah sesuatu yang sudah jelas dan terang.
“Dalam Majlis Pimpinan PH kita tahu secara terbuka mengenainya,” ujar beliau.

Tetapi, tidak kurang menimbulkan kehairanan ialah tulisan Azmin memuji Tun Mahathir itu tidak ubah seperti gaya bodekan dan ampuan yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini.

Sejak bila Azmin sudah pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri sedemikian rupa?
Sebagai menteri yang sepatutnya beliau menumpukan usaha dan pemikirannya ke arah memberi khidmat lebih baik kepada rakyat, untuk apa sebenarnya Azmin membodek serta mengampu Perdana Menteri pada malam-malam buta begitu melalui laman Twitternya itu?

Bukankah beliau telah terdidik dengan jiwa reformasi sejak tahun 1998 lagi?

Sejak bila jiwa reformasi beliau diresapi dengan budaya ampu dan bodek seperti itu?

Mungkinkah sekarang ini Azmin juga sudah mula cium tangan Tun Mahathir sepertimana Azeez Rahim  mencium tangan Najib Razak dahulu? (ShahbudinHusin 29/01/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:13 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments