Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KENAPA BARU SEKARANG TUN MAHATHIR MAHU BEKERJA SAMPAI MATI?

“Bintang Kebesaran paling saya minati ialah KSM – Kerja Sampai Mati,” kata Tun Mahathir Mohamad.

Meskipun berseloroh berkaitan nama bintang kebesaran tersebut, Perdana Menteri seterusnya menambah, selagi ada hayat, selagi itulah beliau akan terus bekerja membetulkan keadaan negara ini.

“Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.

“Tak sayangkah kita kepada negara ini?” katanya lagi.

Tun Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri pada 1981 dan berundur pada 2003 setelah 22 tahun mentadbir negara. Pada 10 Mei 2018 lalu, beliau mengangkat sumpat sebagai Perdana Menteri buat kali kedua setelah Pakatan Harapan berjaya menewaskan BN dalam PRU14.

Mengapakah tiba-tiba saja Tun Mahathir ingin bekerja sehingga ke akhirnya hayatnya?

Bukankah beliau selalu menyebut mengenai pesan ibunya yang selalu diamalkannya ialah berhenti makan ketika tengah sedap menikmatinya atau sebelum perut betul-betul terasa kenyang?

Sebagaimana yang kerap disebutnya sebelum ini, disebabkan berpegang kepada pesan arwah ibunya itulah beliau dapat menjaga kesihatannya dengan baik sepanjang masa.

Malah kata Tun Mahathir juga, lantaran berpegang kepada pesan arwah ibunya itulah yang turut mendorong beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Perdana Menteri pada 2003 dahulu.

Kenapa pula sekarang ini Tun Mahathir mahu bekerja sehingga ke akhir hayatnya?

Jika benar ingin bekerja sampai ke mati, kenapa meletakkan jawatan Perdana Menteri pada 2003 dahulu?

Masih ingatkah beliau kepada pesan arwah ibunya?

Apakah Tun Mahathir belum sampai ke tahap kenyang atau sedap menikmati jawatan Perdana Menteri buat kali kedua ini dan mahu memegangnya melebihi daripada dua tahun sebagaimana yang dijanjikannya?

Kerja Sampai Mati – adakah Tun Mahathir benar-benar berseloroh atau beliau sedang cuba menyampaikan maksud lain di sebaliknya? (ShahbudinHusin 26/01/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x