Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

HUBUNGAN TUN M – ANWAR SEPATUTNYA MAKIN DIPERKUKUH, BUKAN DISULITKAN

Untuk kesekian kalinya, dua hari lalu Anwar Ibrahim terus membidas pihak-pihak tertentu, termasuk media yang masih cuba mahu melaga-lagakan hubungannya dengan Tun Mahathir Mohamad.

Cara mereka bertindak tidak lain ialah dengan berterusan membangkitkan kes liwat yang pernah menjadi punca pergeseran mereka berdua

“Saya tidak akan melayan sebarang provokasi itu. Kami telah membuat keputusan untuk bekerjasama dan saya akan mempertahankannya.

“Sekarang bukan mengenai Anwar atau Tun Mahathir, tetapi kita mesti fokus kepada masalah ekonomi dan rakyat yang menghadapi beban kos sara hidup,” tegas Presiden PKR.

Logiknya, setelah berbaik semula dan wujud perjanjian berhubung penyerahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar, hubungan mereka tidak harus disulitkan lagi ke kancah pergeseran buat kali kedua.

Rakyat telah membuat pilihan menumbangkan UMNO dan BN, bermakna rakyat bukan saja mahu Tun Mahathir menerajui negara selepas kejatuhan Najib Razak, tetapi juga mahukan Anwar sebagai pengganti seterusnya.

Seharusnya perkara itu tidak perlu dipertikaikan lagi, apa lagi dengan cuba mengungkit semula kes liwat yang pernah dihadapi oleh Anwar sebelum ini.

Dalam kedua-dua kes liwat yang dihadapinya, Anwar sudah pun diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong atas sandaran beliau didapati tidak mendapati perbicaraan yang adil mengenainya.

Lantaran itu, Yang Dipertuan Agong telah memberi pengampunan penuh yang sekaligus membersihkan namanya dan dengan demikian, Anwar tidak seharusnya dipertikaikan lagi dari segi kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir.

Mengungkit kes tersebut juga seperti mempertikaikan pengampunan yang telah diberikan oleh Yang Dipertuan Agong kepada Anwar.

Siapakah yang masih cuba melaga-lagakan itu?

Jika diperhati, kelompok yang berbuat demikian tidak bukan saja mahu Tun Mahathir lebih lama menjadi Perdana Menteri iaitu melebihi dua tahun sebagaimana yang sudah dipersetujui sebelum ini, malah bertujuan agar penyerahan kuasa kepada Anwar itu tidak akan berlaku.

Sepatutnya, setelah Najib, UMNO dan BN berjaya ditumbangkan pada PRU14 lalu, tugas utama semua pihak dalam Pakatan Harapan ialah memastikan kalau pun bukan semua, tetapi sebahagian besar masalah negara, janji manifesto dan peralihan kuasa dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam erti kata lain, mengukuhkan lagi hubungan Tun Mahathir dengan Anwar adalah antara yang paling wajib untuk terus diutamakan.

Melaga-lagakan Tun Mahathir dengan Anwar, mengungkit kes liwat yang sudah diberi pengampunan dan seakan-akan gembira jika Anwar sekali lagi gagal menjadi Perdana Menteri, bukanlah suatu amalan yang sihat dalam era Malaysia Baru pasca tumbangnya BN ini.

Selain dalang di sebalik semua itu dipercayai ada agenda tertentu, mereka ini juga secara tidak langsung mahu Pakatan Harapan bergolak, berpecah dan akhirnya memungkinkan BN kembali menguasai pentadbiran negara selepas pilihanraya akan datang.

Apakah itu juga yang kita semua turut mahukan selepas bersusah payah menumbangkan BN pada 9 Mei 2018 lalu? (ShahbudinHusin 21/01/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x