TUN MAHATHIR HANYA PERDANA MENTERI SEMENTARA, TOLONGLAH JANGAN MENGADA-NGADA!!

Daripada semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan berhubung kedudukan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, satu kesimpulan yang nyata ialah beliau hanyalah sementara saja sifatnya dalam memegang jawatan tersebut.

Disebabkan kedudukan yang sementara itulah timbulnya desakan mahukan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15 dan sebagainya.

Malah, dalam pelbagai reaksi yang diberikan oleh Tun Mahathir sendiri pun sebenarnya beliau sedar sifat kesementaraan itu, lantaran itu, mungkin disebabkan rindu kembali dengan kuasa sebagai Perdana Menteri,  selitan perkataan seperti “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang” dan “mungkin lebih sikit…”cuba dimain-mainkannya.

Tujuannya tidak lain ialah kerana Tun Mahathir seperti mahu berkuasa lebih daripada dua tahun sebagai Perdana Menteri, sedangkan jangkamasa dua tahun itu beliau sendiri yang mula-mula menyebutnya.

Mengimbas kembali sejarah Pakatan Harapan, calon sebenar Perdana Menteri ke-7 jika BN berjaya ditumbangkan ialah Anwar Ibrahim. Tetapi, oleh kerana beliau masih di dalam penjara dan tidak dapat bertanding dalam PRU14 lalu, calon sementara haruslah dipilih.

Di situlah yang menyebabkan nama Tun Mahathir dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri ke-7 secara sementara sebelum ia mesti diserahkan kepada Anwar kemudiannya.

Sudah tentu jika Anwar tidak berada di penjara, maka beliaulah calon mutlak Perdana Menteri ke-7 itu.

Anwar pula memang berhak kepada jawatan itu kerana beliaulah yang mengasaskan Pakatan Harapan sejak tahun 1998 lagi, manakala Tun Mahathir hanya bersama gabungan pembangkang sejak 2016 saja.

Dalam hal ini, jika Tun Mahathir sentiasa menginsafi kedudukannya yang sementara itu, apa yang harus dilakukannya dalam tempoh waktu yang sementara selama dua tahun menjadi Perdana Menteri ialah beliau harus menumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi, menyediakan pekerjaan untuk rakyat serta menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU14 lalu.

Soal-soal lain seharusnya diketepikan sama sekali. Adalah suatu kecurangan sikap sebenarnya apabila dalam kedudukan yang sementara, tetapi seseorang itu bukan saja cuba memungkiri janjinya, malah cuba menaikkan orang lain pula untuk “menyailang” pengganti yang berhak mengambil alih tempatnya.

Selain harus fokus dalam tugas untuk negara dan rakyat, Tun Mahathir juga sepatutnya ada ikrar dalam dirinya sendiri untuk menunaikan 100 peratus janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui tersebut.

Cubaan menonjolkan nama-nama lain, dengan tepatnya memberikan  jawatan kanan kepada Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sedangkan namanya tidak dicalonkan oleh PKR untuk mengisi jawatan menteri lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu, dengan jelas menunjukkan Tun Mahathir ada niat buruk atau “telunjuk lurus kelingking berkait” dalam dirinya terhadap Anwar.

Apakah tiada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan, selain Azmin yang layak untuk diberikan jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu?

Apa istimewa sangatnya Azmin sehingga di mata Tun Mahathir seolah-olah tiada orang lain yang layak memegang jawatan tersebut?

Begitu juga  seperti tindakan cuba mengukuhkan kedudukan dengan membawa masuk bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu atau mendapatkan sokongan melalui akuan bersumpah Ahli-Ahli Parlimen  BN terhadapnya, turut tidak perlu sama sekali sebenarnya.

Iyalah…sebagai Perdana Menteri sementara selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim, untuk apa lagi memerlukan sokongan tambahan daripada Ahli-Ahli Parlimen BN?

Bahkan, dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta Warisan sedia ada pun beliau sudah dapat jadi Perdana Menteri, apa perlunya lagi menagih sokongan di luar daripada Pakatan Harapan?

Sepertimana isyarat Lim Kit Siang yang mengatakan DAP sedia meninggalkan kerajaan jika semangat Malaysia Baru diabaikan, disusuli dengan ketegasan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung peralihan kuasa kepada Anwar, Tun Mahathir seharusnya insaf dengan penolakan daripada dalam Pakatan Harapan sendiri terhadap cubaan memungkiri janji penyerahan kuasa yang  telah pun dipersetujui itu.

Janganlah cuba mengada-ngada menyimpang ke laluan lain, walhal jalan yang sudah dipersetujui untuk dilalui bersama telah pun lama tersedia.

Beliau perlu segera berhenti melakukan sebarang tindakan yang dilihat mahu mengukuhkan kedudukannya, memanjangkan tempoh menjadi Perdana Menteri dan cuba mencurangi janji terhadap Anwar sendiri.
Begitu juga kepada penyokong, pendokong dan pentaksub Tun Mahathir, berhentilah menjaja nama lain selain Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Kiranya Anwar sendiri merasakan ada pihak dalam PKR yang mahu mensabotaj beliau daripada menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin ia berlaku tanpa restu daripada Tun Mahathir sendiri.

Insaflah, bukan saja kerana jasa Anwar mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat sejak 1998 yang harus dikenang dan dihargai, Pakatan Harapan sendiri bertanding menggunakan logo parti siapa pada PRU14 lalu? (ShahbudinHusin 04/01/2019)

Updated: 26 March 2019 — 2:11 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.