Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TUN MAHATHIR MASIH ADA KECENDERUNGAN MAHU JADI PM LEBIH DARIPADA DUA TAHUN

Sebelum ini, ayat yang biasa kita dengar daripada Tun Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasanya kepada Anwar Ibrahim ialah ia akan dilakukan dalam tempoh dua tahun selepas beliau memegang jawatan itu.

Berkali-kali tempoh dua tahun itulah yang disebut oleh Tun Mahathir sebagai jangka masa yang sesuai untuk beliau menerajui negara buat sementara waktu sebelum menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

“Saya berjanji saya tidak akan kekal lama sebagai Perdana Menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang,” demikian antara yang pernah disebut Tun Mahathir.

Tetapi, kalau bertekad hanya mahu jadi Perdana Menteri selama dua tahun, kenapa masih ada perkataan “mungkin” yang  Tun Mahathir gunakan?

Apakah maksudnya?

Kemudian, di suatu ketika yang lain beliau berkata, jika Anwar setuju memberi laluan, dapatlah beliau menjadi Perdana Menteri selama dua setengah tahun.

“Dua tahun atau…..tak tahulah, kalau dia (Anwar) beri izin, dapatlah dua tahun setengah,” katanya sambil melirik kepada Anwar yang ketika duduk di sebelahnya.

Sekali lagi, kenapa masih ada ayat tergantung “atau” dan cuba meminta ihsan daripada Anwar untuk menjadikannya Perdana Menteri selama dua tahun setengah?

Bukankah jangka masa dua tahun itu disebut dan dipilih sendiri oleh Tun Mahathir?

Bagaimanapun, ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini, kenyataan Tun Mahathir mengenai peralihan kuasa ternampak sangat jelas.

Katanya, beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri melebihi tempoh dua tahun berikutan faktor usia dan kesihatannya.

“Itu yang mereka minta (lebih lama menjadi Perdana Menteri), saya kena jaga kesihatan saya sama. Saya dah tua,” kata Pengerusi Bersatu itu lagi.

Namun semalam  pada 2 Januari 2019, dalam satu interbiu dengan akhbar Cina, ada kontradiksi dalam kenyataan yang disebut oleh Tun Mahathir berhubung peralihan kuasa itu.

Sementara beliau menyatakan akan tetap menepati janji untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, sambungannya agak pelik iaitu, “Mungkin lebih sikit, tapi saya sudah janji. Saya akan tunaikan janji,” katanya lagi.

Setelah menyebut hanya akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, mengapa masih ada sambungan ayat yang berbunyi, “mungkin lebih sikit…” lagi?

Selain itu, Tun Mahathir juga memberitahu, Anwar tidak pernah memaklumkan hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri lebih awal daripada tempoh dua tahun yang dicadangkan.

Apakah dengan tidak pernah memaklumkan mahu menjadi Perdana Menteri lebih awal daripada dua tahun, bermakna Tun Mahathir tidak boleh menyerahkan jawatan itu lebih awal kepada Anwar?

Daripada sekian banyak lafaz kata daripada mulut Tun Mahathir berkaitan peralihan kuasa, meskipun selalu mengatakan beliau akan tetap berpegang kepada janji, beliau juga kerap menggunakan perkataan “mungkin” atau perkataan-perkatan lain yang bermaksud kabur di penghujung kata-katanya.

Kenapakah begitu?

Tidakkah penggunaan perkataan “mungkin” dan lain-lain perkataan itu, bahkan sesekali meminta izin daripada Anwar untuk lanjutan masa itu menunjukkan Tun Mahathir sebenarnya mahu lebih lama iaitu melebihi dua tahun menjadi Perdana Menteri?

Tidak bolehkah Tun Mahathir bercakap dengan ayat yang jelas dan terang mengenai penyerahan kuasa kepada Anwar itu, bukan dalam bahasa yang kabur serta boleh ditafsir macam-macam atau tanpa perlu ada perkataan “mungkin” dan lain-lainnya?

Dalam usia sudah mencecah 93 tahun dan 95 tahun pada dua tahun akan datang, apa lagi yang Tun Mahathir mahukan dalam hidupnya?

Tidak puaskah lagi dapat jadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, dengan ketika bersama UMNO dahulu sudah selama 22 tahun lamanya? (ShahbudinHusin 03/01/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x