Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIDAK BOLEHKAH MAJLIS PRESIDEN PUTUSKAN SEGERA MASA SEBENAR PERALIHAN KUASA?

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah mengesahkan wujud perjanjian berkaitan penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Katanya, perjanjian bertulis itu juga merupakan persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata, perjanjian itu tidak menyebut penyerahan jawatan itu mesti dilakukan oleh Tun Mahathir kepada Anwar dalam tempoh masa dua tahun sebagaimana yang banyak diperkatakan ramai.

“Pakatan Harapan cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun Mahathir, Anwar adalah Perdana Menteri seterusnya.

“Kita tidak bincang tempoh masa kerana mereka adalah tokoh besar yang saling memahami perkara tersebut, ujar beliau lagi.

Kenyataan Saifuddin ini dengan sendirinya selari dengan kenyataan Anwar pada 12 Ogos lalu yang menyebut wujud perjanjian bertulis berhubung peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepadanya.

Anwar turut mengesahkan perkara tersebut adalah kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Maka, daripada mana timbulnya isu dua tahun itu?

Sebetulnya, jika kita masih ingat, tempoh masa dua tahun itu mula-mula disebut sendiri oleh Tun Mahathir sebagai menjelaskan pertanyaan orangramai tentang berapa lama beliau harus menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan usianya, tempoh masa dua tahun itu dianggap Tun Mahathir bersesuaian untuk beliau memulihkan ekonomi negara, menunaikan sebahagian janji manifesto dan melakukan beberapa perubahan dalam negara sebelum menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Anwar.

Bagaimanapun, dalam beberapa kenyataan media atau dalam perjumpaan lainnya, Tun Mahathir juga selalu berkata, “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang”.

Sehubungan itu, bila sebenarnya peralihan kuasa itu akan dilakukan oleh Tun Mahathir kepada Anwar terus menjadi misteri sehinggalah sekarang.

Orang ramai pula tidak henti-henti bercakap dan membuat pelbagai tafsiran mengenainya.

Dalam hal ini, bagi meredakan kemelut tersebut daripada terus berpanjangan dan menimbulkan pelbagai polemik yang akhirnya meretakkan Pakatan Harapan, adalah lebih baik soal tempoh masa peralihan kuasa ini dibincangkan semula dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Malah, untuk membuktikan kejujurannya mahu menyerahkan kuasa, Tun Mahathir sendiri sebaiknya membawa soal peralihan kuasa itu dalam mesyuarat Majlis Presiden agar dapat diputuskan satu tarikh yang tetap untuk perlaksanaan penyerahan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang sudah dijanjikan itu.

Membiarkan ia tergantung tanpa kepastian, selain lebih banyak buruknya, bahkan semakin lama  semakin mencetuskan elemen perpecahan dalam Pakatan Harapan sendiri.

Tun, ada masalahkah untuk Tun berbuat demikian? (ShahbudinHusin 02/01/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x