Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIADA PILIHAN, KERAJAAN KINI WAJIB TURUNKAN HARGA MINYAK

Berikutan penurunan harga minyak dunia yang berterusan sehingga kini, satu-satunya pemimpin dalam Pakatan Harapan yang ada bersuara menuntut agar kerajaan menurunkan harga minyak ialah Rafizi Ramli.

Pada 11 Disember lalu, beliau mengatakan, akibat penurunan harga minyak itu, harganya di pasaran tempat sepatutnya diturunkan 10 sen daripada RM2.20 kepada RM2.10 seliter.

Hari ini, dengan harga minyak terus menurun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu tampil sekali lagi menuntut kerajaan agar meniru cara kiraan sewaktu era BN dahulu untuk membolehkan rakyat menikmati penurunan sebanyak 20 sen iaitu hanya RM2.00 seliter.

Kenapa pemimpin-pemimpin lain dalam Pakatan Harapan senyap saja, sedangkan sewaktu BN jadi kerajaan dulu, mereka cukup bising apabila harga minyak naik?

Sudah dapat jawatan dan kedudukan, apakah mereka anggap penurunan 20 sen seliter itu tiada nilai apa-apa?

Bukankah dengan harga pasaran sepatutnya hanya RM2.00 seliter, tetapi kerajaan masih menjualnya dengan RM2.20 seliter, ini bermakna harga minyak sekarang lebih tinggi berbanding harga pasaran dan kerajaan bagaikan mencekik poket rakyat?

Tidak malukah kerajaan yang kononnya berjiwa rakyat, tetapi bersikap demikian rupa?

Memang janji Pakatan Harapan sebelum PRU14 ialah untuk menstabilkan harga minyak.  Untuk itulah maka sebaik mengambil alih kerajaan, harga minyak ditetapkan pada kadar RM2.20 sen seliter. Janji itu tidak lain ialah demi keselesaan rakyat semata-mata.

Jika difahami dengan teliti, janji menstabilkan harga minyak itu bermakna kerajaan hanya akan menampung subsidi apabila harganya meningkat. 

Kerajaan yang bertanggungjawab dan mahu membela rakyat tidak boleh membiarkan harga minyak terlalu tinggi kerana ia akan menyusahkan kehidupan mereka.

Oleh itu, apabila harga minyak meningkat, tindakan menstabilkan harga dengan cara memberi subsidi harus dilakukan.

Tetapi, ia tidak bermakna kerajaan hanya perlu berdiam diri saja dan tidak berbuat apa-apa apabila harga minyak dunia sudah turun.

Kerajaan tidak boleh berniaga dan tidak sepatutnya mengaut keuntungan daripada rakyat. Sebaliknya fungsi kerajaan ialah berkhidmat, membela dan memberi kesenangan kepada rakyat.

Ini kerana wujudnya kerajaan itu sendiri adalah kerana dipilih oleh rakyat. Rakyat adalah tuan sebenarnya, manakala kerajaan dan pemimpin sekadar hamba yang mesti memberi khidmat kepada rakyat.

Oleh itu, apabila harga minyak turun, faedahnya mesti dikembalikan kepada rakyat dengan mereka wajib menikmati harganya yang lebih rendah juga. 
Sesuai dengan penurunan harga minyak dunia, harganya untuk rakyat juga wajib diturunkan. Cuma, sama ada mahu meniru cara  kiraan era BN dulu atau apa-apa kaedah yang lain, tidak perlulah semakan harga harus dilakukan seminggu sekali misalnya. Tempoh semakan sebaik-baiknya sebulan atau tiga bulan sekali kerana ia lebih menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Tidak kira sama ada meniru cara kiraan era BN atau tidak, apa saja kaedah yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, Pakatan Harapan tidak harus malu-malu untuk meniru atau mencontohinya.

Yang kerajaan patut malu ialah sementara harga minyak dunia telah menurun, tetapi  masih juga tak malu-malu menjualnya kepada rakyat pada harga yang tinggi.

Kalau begitu, macam mana nak dapat undi lagi? (ShahbudinHusin 23/12/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x