MEMUNGKIRI JANJI KEPADA ANWAR HANYA MENCEMAR NAMA TUN M SEBAGAI NEGARAWAN

Janji wajib ditepati dan di dalam Islam, mereka yang mungkir janji tergolong sebagai munafik.

Dalam pepatah Melayu pula selalu disebut – lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Bermakna, dalam apa keadaan sekali pun, janji mesti ditepati dan bukan untuk dikhianati.

Dalam carta politik negara sekarang ini, janji yang paling ditunggu oleh rakyat ialah janji manifesto pilihanraya dan janji untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Mahathir Mohamad.

Tidak dinafikan juga, kedua-dua janji itulah yang turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya umum yang lalu.

Oleh kerana sekarang ini Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan dan Tun Mahathir kembali menduduki kerusi Perdana Menteri, ertinya kini adalah fasa untuk menunaikan kedua-dua janji tersebut.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, janji 100 hari dalam manifesto lalu masih banyak yang belum ditunaikan. Janji manifesto yang lain juga dikhabarkan berdepan hal yang sama.

Alasan yang biasa kita dengar ialah kerana kerajaan berdepan kekangan kewangan dan Pakatan Harapan tidak menyangka beban kewangan yang ditinggalkan Najib Razak adalah terlalu besar serta di luar jangkaan.

Sementara mungkin ada yang bersetuju dengan hujah-hujah kerajaan itu, tidak dinafikan kegagalan menunaikan janji manifesto telah mencalarkan sedikit sebanyak keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan, apatah lagi Tun Mahathir adalah ketua kerajaan yang berpengalaman membawa kecemerlangan kepada negara selama 22 tahun sebelum ini.

Bagi kebanyakan rakyat, janji tetap janji dan kalau terpaksa merangkak sekali pun, ia mesti dipenuhi.

Dalam hal ini, jika menjelang PRU15 nanti masih banyak lagi janji manifesto yang tidak dipenuhi, sukar untuk menjangka sama ada Pakatan Harapan ini mampu terus menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya.

Serentak dengan kegagalan menunaikan banyak janji manifesto itu, entah bagaimana dalam masa yang sama bercambah pula perkhabaran yang semakin meluas hari demi hari kononnya janji mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 juga bakal dimungkiri sama.

Ia bukan saja terlihat melalui banyak kenyataan Tun Mahathir sendiri yang agak kabur mengenai kedudukan penggantinya itu, dalam waktu yang sama usaha-usaha menonjolkan Azmin Ali seperti bergerak seiring dengannya.

Walaupun selalu mengatakan Anwar adalah penggantinya dan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, Tun Mahathir seringkali menggunakan perkataan “mungkin” apabila merujuk tempoh masanya menerajui negara ini.

“Mungkin kurang dua tahun dan mungkin juga lebih daripada dua tahun,” kata Tun Mahathir dalam beberapa kenyataan yang pernah diluahkannya.

Kenapakah Tun Mahathir tidak mahu berterus-terang dan bertegas bahawa tempohnya menerajui negara hanya selama dua tahun saja dan selepas itu akan menyerahkan kepada Anwar sebagaimana yang dipersetujui bersama Pakatan Harapan sebelum PRU14 lalu?

Sehingga ke hari ini, setelah tujun bulan berlalu, meskipun Anwar masih dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, kedudukannya jelas masih kabur dan tidak menentu.

Ia selain kerana Tun Mahathir tidak mahu bersikap jujur dan masih menunjukkan kekaburan serta dalam masa yang sama banyak menampakkan kelebihan kepada Azmin dan kemnya, yang ternampak jelas juga beliau semakin cuba memperkukuhkan kedudukannya melalui tindakan membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Jika Tun Mahathir dapat menampakkan pendiriannya yang betul-betul jelas ke arah mahu menyerahkan kuasa dalam tempoh tidak lebih dua tahun sepertimana dijanjikan, rasanya tidak mungkin Anwar melakukan tindakan yang seolah-olah memperlihatkan sikapnya yang tidak sabar mahu mengambil alih kuasa.

Tetapi, oleh kerana Tun Mahathir lebih dulu menunjukkan sikap yang meragukan, maka tidak boleh dipersalahkan kepada Anwar yang dilihat tidak sabar itu.

Anwar hakikatnya hanya bertindak balas untuk melindungi dirinya terhadap apa yang Tun Mahathir lakukan dan bagi memastikan janji peralihan kuasa yang sudah sama-sama dipersetujui benar-benar dipatuhi.

Begitu juga dengan tindakan Rafizi Ramli mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, niatnya hanya bertujuan memastikan Anwar tidak tergugat sebagai pengganti Tun Mahathir.

Janji peralihan kuasa, setelah Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, kalau masih juga cuba dimungkiri, ia hanya akan mencemarkan nama beliau sebagai seorang negarawan saja.

Selepas berjaya menyingkirkan Najib dan dalam usia 93 tahun sekarang ini, tetapi jika masih mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun, apa lagi sebenarnya yang Tun Mahathir kejar dalam sisa-sisa hidupnya? (ShahbudinHusin 21/12/2018)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:10 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of