MEMBALUN NAJIB YANG SUDAH JADI 'BOLA KEMPIS' TIDAK LAGI MEMBERI SEBARANG KEPUASAN….

Ada yang bertanya, kenapa saya tidak banyak lagi menghentam Najib Razak sejak kebelakangan ini?

Adakah saya mula simpati kepada bekas Perdana Menteri itu?

Ya, simpati mungkin itu ada, tambahan lagi bila mendengar kata-katanya yang beliau kini tertekan kerana terpaksa meminjam wang daripada pihak tertentu untuk membiayai perbelanjaan dan membayar ikat jamin terhadap 39 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya setakat ini.

Dalam hal ini, Najib bukanlah tiada wang sebenarnya, cuma beberapa akaun banknya sedang dibekukan oleh pihak berkuasa kerana siasatan terhadapnya masih lagi berjalan.

Cuma, saya tertanya-tanya, ke manakah menghilangnya rakan-rakan yang banyak mendapat manfaat perniagaan ketika beliau berkuasa dahulu?

Apakah persahabatan mereka hanya ketika Najib sedang berkuasa saja?

Tetapi, meskipun ada simpati kepadanya, saya tidaklah sampai ke peringkat mahu menyokongnya.

Bagi saya, Najib sudah ibarat “bola kempis yang tidak sedap lagi untuk ditendang”.

Beliau sudah jatuh sekarang ini dan saya mengkritik serta menghentamnya sejak 2011 lagi sama ada melalui buku, penulisan di blog atau coretan di facebook dan juga twitter.

Sejak tahun 2011, saya sudah menulis enam buah buku yang kesemuanya berkenaan Najib dan mengajak rakyat menolak kepimpinannya

Mereka yang mengikuti blog saya tentu tahu bahawa sudah beribu artikel yang saya tulis yang mengenai Najib, tidak terkecuali juga berkenaan Rosmah Mansor, Jho Low dan Riza Aziz.

Memulakan penulisan di blog sejak 2012, sehingga ini blog saya telah dikunjungi oleh lebih 48 juta penjenguk. Terima kasih kepada mereka yang tidak jemu-jemu membaca tulisan saya.

Dengan 39 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya, rasanya sampailah ketikanya saya harus membiarkan Najib  menguruskan kes-kesnya bersama pasukan peguam dan mereka yang rapat dengannya dengan lebih aman tanpa gangguan.

Tugas dan peranan saya mengkritik, menegur, menghentam dan membalun Najib ketika beliau sedang berkuasa dan sehingga kejatuhannya pada pilihanraya 9 Mei lalu, rasanya sudah selesai dan memberikan kepuasan peribadi yang tidak ternilai.

Saya tidak perlu lagi “menendang bola yang sudah kempis”. Beliau sudah jatuh dan tidak mungkin akan kembali lagi ke persada kuasa.

UMNO sendiri tidak mungkin sedia menerima beliau sebagai pemimpin mereka buat kali kedua.

Perjuangan Najib sekarang ini, bagi saya hanyalah semata-mata untuk berdepan dengan kes-kes mahkamahnya dan berusaha sebaik mungkin agar beliau dan isterinya tidak ke penjara.

Bersama pasukan peguamnya, saya percaya Najib mampu menguruskan hal tersebut.

Saya tidak mahu lagi menghentam atau membalunnya. Cukuplah setakat ini.

Namun, sebagai penulis, saya akan terus berjuang mengkritik dan menegur, malah menghentam serta membalun sesiapa juga yang saya rasa patut diperlakukan sedemikian.

Sudah tujuh bulan berlalu, saya kini jadi rindu kembali untuk “menendang bola-bola yang sedang kencang dan masih ada angin”, apatah lagi dalam kerajaan kini berlaku begitu banyak keserabutan yang memerlukan teguran, selain menunaikan janji manifesto PRU14 serta janji-janji lain ternampak bukan lagi sebagai keutamaan.

Saya sudah biasa “menendang bola kencang” dan terus “menendang Najib yang sudah ibarat bola kempis”, tidak lagi memberi sebarang keseronokan serta kepuasan, malah saya rasa seperti sedang ditertawakan.

Saya akan terus “menendang”, tapi kini sasaran saya ialah “bola kencang” dan “bola-bola lain yang ada angin” yang sudah tentu mampu memberikan saya keseronokan dan kepuasan. (ShahbudinHusin 18/12/2018).

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:10 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of