KENAPA CUTI SEMENTARA ZAHID TIADA TEMPOH MASA, AGONG BERCUTI PUN ADA TARIKH AKHIRNYA?

Berdepan dengan kritikan serta desakan berterusan yang mahukannya berundur, Presiden UMNO, Zahid Hamidi akhirnya mengalah dengan menyerahkan tugasnya kepada timbalannya, Mohamad Hassan.

Berdasarkan kandungan surat berhubung perkara itu, Zahid Hamidi mengumumumkan pengundurannya buat sementara itu bertujuan menyelamatkan parti berikutan tindakan beberapa pemimpinnya meninggalkan UMNO kebelakangan ini.

Dengan menyerahkan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas-tugas Presiden buat sementara waktu, beliau berharap sebarang polemik mengenai kepimpinan dapat ditamatkan dan semua pihak dapat memberi fokus ke arah memperkukuhkan parti.

Tetapi, pengunduran Zahid Hamidi ini nampak ada sedikit pelik dan janggal kerana beliau sebenarnya hanyalah bercuti secara sementara daripada menjalankan tugas-tugas presiden saja.

Mohamad Hassan atau Tok Mat hanya menjalankan tugas-tugas presiden UMNO, sementara Zahid Hamidi masih merupakan Presiden UMNO yang sebenar tetapi tanpa kuasa buat sementara waktu.

Lebih pelik dan janggal lagi,  cuti sementara dan menyerahkan tugas kepada timbalannya yang diumumkannya itu tiada tempoh tertentu yang ditetapkannya.

Ditanya tentang perkara tersebut, Zahid Hamidi berkata, “tempoh untuk Tok Mat menjalankan tugas presiden itu ialah sehingga beliau tidak sanggup lagi memikulnya atau setelah beliau yakin saya boleh teruskan tugas dan tanggungjawab.”

Apakah maknanya semua ini?

Apakah minggu depan atau bulan depan misalnya, Zahid Hamidi akan kembali semula sebagai Presiden UMNO yang berkuasa penuh sebagaimana sebelumnya?

Cuti sementara tanpa tempoh ini memang pelik dan tidak pernah dibuat orang lain, barangkali inilah pertama kali dalam dunia kerana biasanya cuti sementara memang ada tarikh akhirnya.

Yang Dipertuan Agong atau Perdana Menteri sekali pun apabila mengambil cuti sementara, ia mesti ada tempoh akhir tertentu yang ditetapkan.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi seharusnya sedar yang diminta oleh ahli UMNO sebelum ini ialah agar beliau meletakkan jawatan atau berundur dengan mengambil cuti sehingga kes mahkamahnya selesai, bukan cuti sementara yang tiada tarikh akhirnya.

Kalau pun enggan meletakkan jawatan, mengapa Zahid Hamidi tidak mahu mengambil cuti sementara sehingga kes mahkamahnya selesai?
Bukankah itu lebih baik dan memberi ruang masa yang lebih jelas kepada timbalannya dalam menjalankan tugas?

Ternampak bahawa  Zahid Hamidi masih terlalu sayang untuk melepaskan jawatan presiden UMNO yang disandangnya berbanding tindakan jujur ke arah memulihkan kedudukan parti secara menyeluruh.

Apa yang beliau mahu tunggu lagi dengan hanya mengambil cuti sementara itu?

Adakah Zahid Hamidi mahu mencatat sejarah sebagai Presiden UMNO yang pertama dihukum bersalah oleh mahkamah dan dimasukkan ke penjara? (ShahbudinHusin 19/12/2018)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:10 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of