JIKA BENAR MAHU TUNAI JANJI SERAH KUASA KEPADA ANWAR, UNTUK APA LAGI TUN M PERLU SOKONGAN 36 AHLI PARLIMEN BN?

Bersama dengan tindakan keluar parti enam Ahli Parlimen UMNO baru-baru ini, terdedah sesuatu yang tidak dijangka oleh kita semua iaitu wujudnya akujanji atau akuan bersumpah melibatkan 36 Ahli Parlimen BN untuk menyokong Tun Mahathir Mohamad sekiranya berlaku usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.

Tidak dipastikan siapa yang menggerak atau mengusahakan akaun bersumpah itu, tetapi yang pastinya ini memperlihatkan wujudnya persekongkolan atau pakatan sulit antara Tun Mahathir dengan 36 Ahli Parlimen BN bagi tujuan mengekalkan kuasanya.

Sudah pasti wujud pertemuan dengan Tun Mahathir, kalau pun tidak melibatkan kesemua 36 Ahli Parlimen berkenaan, setidak-tidaknya dengan ketua kumpulannya iaitu Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.
Agak mustahil usaha mewujudkan akaun bersumpah ini hanya tindakan sebelah pihak atau atas inisiatif sendiri melibatkan 36 Ahli Parlimen berkenaan semata-mata tanpa persetujuan daripada pihak Tun Mahathir.

Pakatan sulit ini bukan saja diluar pengetahuan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, malah juga tidak diketahui oleh pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan.

Kenapa perlu Tun Mahathir mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen BN jika beliau benar-benar mahu menyerahkan jawatan Perdana Menterinya dalam tempoh dua tahun selepas memegangnya kepada Anwar Ibrahim sebagaimana dijanjikannya?

Bukankah Anwar juga sudah menyatakan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri, malah tiada masalah menunggu tempoh dua tahun yang ditetapkan itu?

Jadi, untuk apa lagi perlunya diwujudkan akuan bersumpah daripada 36 Ahli Parlimen BN itu jika Tun Mahathir benar-benar berpegang kepada janjinya?

Apakah ini bermakna Tun Mahathir secara diam-diam mahu memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada dua tahun dan kiranya kerana itu berlaku usul tidak percaya untuk menjatuhnya yang digerakkan oleh Anwar, beliau sudah bersedia untuk menghalangnya?

Atau, apakah dengan adanya akuan bersumpah daripada 36 Ahli Parlimen BN itu, Tun Mahathir boleh dengan mudah tidak mahu menunaikan janjinya menyerahkan kuasa kepada Anwar lantaran berpegang kepada hakikat bahawa beliau sudah ada sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen yang mahukannya terus kekal sebagai Perdana Menteri?

Bagaimana dengan pendirian Ahli Parlimen daripada DAP dan Amanah serta daripada PKR yang pro Azmin dalam hal ini?

Apakah kerana sudah selesa dengan jawatan menteri, nikmat gaji enam puluh atau tujuh puluh ribu ringgit sebulan, di samping pelbagai kemudahan lain, mereka juga dengan mudah turut sama memungkiri janji untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir?

Dalam usia sudah melebihi 93 tahun, berapa lama lagi sebenarnya Tun Mahathir mahu jadi Perdana Menteri? (ShahbudinHusin 16/12/2018)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:09 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of