KERAJAAN PH YANG BAIK HATI…..

Walaupun sedar himpunan bantah ICERD yang kemudian ditukar kepada perhimpunan kononnya sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran adalah medan terbuka untuk UMNO dan Pas memberi tekanan serta kalau boleh untuk menggulingkan Pakatan Harapan, tetapi kerajaan tetap berlapang dada terhadapnya.

Kerajaan, melalui PDRM dan DBKL, bukan saja memberi lampu hijau kepada himpunan tersebut yang akan diadakan di Jalan Raja iaitu berhadapan Dataran Merdeka, malah dalam waktu yang sama sedia menunda himpunan hak asasi manusia di Padang Timur, Petaling Jaya yang sebenarnya telah dijadual sejak Oktober lalu lagi.

Untuk itu, himpunan hak asasi anjuran Suhakam yang sepatutnya berlangsung serentak dengan perhimpunan ICERD telah ditunda kepada esok, 9 Disember di tempat yang sama.

Semua itu dilakukan oleh kerajaan untuk memberi ruang kepada demokrasi dan hak berhimpun rakyat berjalan tanpa sebarang gangguan atau halangan.

Keadaan ini tentu saja berbeza era kepimpinan Najib Razak sebelum ini yang tidak pernah langsung memberi kebenaran kepada himpunan BERSIH daripada diadakan.

Najib, meskipun memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman yang kononnya bertujuan memberi ruang kepada rakyat berhimpun secara aman dan menunjukkan keterbukaannya, tetapi semua permohonan BERSIH untuk mengadakan perhimpunan ditolak dan tidak dibenarkan.

Tidak cukup dengan memberi kebenaran kepada perhimpunan ICERD tersebut dari segi undang-undang, semalam juga Tun Mahathir Mohamad turut mengutuskan ucapan serta doa agar himpunan itu dilangsungkan dengan aman, tidak merosakkan harta awam serta tidak menyebabkan kekotoran persekitaran.

“Cuma satu saja permintaan kerajaan, penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan harta awam.

“Jika boleh jangan buang sampah merata-merata dan jagalah kebersihan,” kata Perdana Menteri dalam satu klip video yang diedarkan.

Mana nak cari kerajaan yang baik hati seperti ini?

Boleh kita bayangkan, jika Najib masih berkuasa dan Rosmah kekal lagi bertakhta di Seri Perdana sekarang ini, keadaan yang sama sedia dilakukannya? (ShahbudinHusin 08/12/2018)

Updated: 26 March 2019 — 2:09 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.