Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

POLIS AKAN PANTAU HIMPUNAN JIHAD PERKASA ESOK – MUHYIDDIN

KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN 
MENTERI DALAM NEGERI

Berhubung Himpunan Jihad Perkasa yang dirancang diadakan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur sempena Persidangan Agung Tahunan Perkasa ke-9 pada 2 Disember 2018, saya ingin mengingatkan pihak penganjur dan peserta perhimpunan ini supaya berhimpun secara aman dan mematuhi undang-undang pada setiap masa.

Elakkan daripada mengambil tindakan yang mengganggu ketenteraman awam atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

Pihak polis akan memantau perhimpunan ini untuk memastikan ia berlangsung dengan aman dan undang-undang negara dipatuhi. 

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Negara kita baru sahaja melalui insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang telah menyebabkan keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. 

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan yang telah pun dapat dikawal pada masa ini.

Saya percaya Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang telah lama tertubuh di bawah kepimpinan yang bertanggungjawab pasti memahami dan sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law), keharmonian rakyat serta ketenteraman dan keamanan negara.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Menteri Dalam Negeri 
1 Disember 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *