ELOKLAH DIBATALKAN TERUS….

UMNO dan Pas kini dilaporkan sedang memikirkan semula penyertaan mereka dalam himpunan 8 Disember depan yang pada awalnya diadakan untuk membantah ratifikasi ICERD oleh kerajaan.

Perkembangan terbaru ini dikatakan berikutan berlakunya kekacauan di sebuah kuil di Subang Jaya yang berlaku sejak dua hari lalu dan masih lagi dalam kawalan ketat pihak polis sehingga sekarang ini.

Dilaporkan juga Pas akan mengadakan mesyuaratnya malam ini untuk membincangkan perkara itu, manakala UMNO setakat ini menyerahkan perkara itu kepada penganjur.

Sebetulnya, sebagaimana dalam beberapa tulisan yang pernah dimuatkan dalam blog ini dan bersekali dengan pandangan mereka yang waras, sebaik saja kabinet sudah membuat keputusan tidak akan menandatangani ICERD, adalah lebih baik UMNO dan Pas tidak lagi meneruskan perhimpunan 8 Disember tersebut.

Ia sudah tidak memberi makna apa-apa lagi, walaupun dengan alasan untuk meluahkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan.

Tidak pernah orang meluahkan rasa syukur atau mahu mengucapkan terima kasih dengan cara mengadakan perhimpunan di tempat terbuka.

Kalau mahu beryukur dan berterima kasih, lebih-lebih lagi UMNO dan Pas adalah parti Melayu dan Islam,  seharusnya mereka mengadakan majlis kesyukuran di surau-surau dan masjid sambil bersedekah makanan kepada fakir miskin.

Benda sudah selesai, nak berhimpun dan menjerit-jerit untuk apa lagi?

Malah, lebih memalukan andainya perhimpunan 8 Disember nanti tidak mendapat sambutan seperti yang diharap-harapkan kerana tentu saja ketika ini tidak ramai lagi penyokong kedua-dua parti yang bersemangat seperti sebelum kabinet membuat keputusan tidak akan meratifikasikan ICERD.

Tidakkah nanti, jika kehadiran yang datang hanya kecil saja jumlahnya, UMNO dan Pas juga yang malu akhirnya?

Maka, langkah UMNO dan Pas mahu memikirkan semula penyertaan dalam perhimpunan 8 Disember nanti dan adalah tepat dan sebaik-baik keputusan jika terus dimuktamadkan dengan membatalkannya sama sekali.

Tiada apa-apa lagi yang nak diperjuangkan berkenaan dengan ICERD ketika ini berikutan keputusan kerajaan itu.

Lagi pula, kalau sekadar mahu menjadikannya sebagai isu politik, tarikh pilihanraya umum pun lambat lagi iaitu ada kira-kira empat tahun setengah lagi.

Jadi, belajarlah bersabar dan bertenang-tenang dulu. (ShahbudinHusin 28/11/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:09 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments