Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APA MAKSUD TERSIRAT PERKARA INI DITIMBULKAN OLEH TUN MAHATHIR?

Walaupun sudah lebih enam bulan berlalu, barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapakah Tun Mahathir Mohamad masih mahu mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan berlakunya kelewatan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu?

Menurut beliau, pada malam tersebut telah berlaku gerakan belakang tabir oleh UMNO dan Pas untuk memancing Ahli Parlimen Melayu/Islam daripada Pakatan Harapan untuk melompat parti.

“Ini yang menyebabkan kelewatan pengumuman kemenangan Pakatan Harapan.

“Kami sudah tahu kemenangan seawal jam 8.30 malam tapi kami tidak mendapat pengumuman rasmi sehingga 2 pagi kerana pada waktu itu terdapat gerakan yang disusun yang tidak dapat dilihat umum.

“Dan selepas itu, kami tahu lebih lanjut berhubung perkara itu,” kata Tun Mahathir dalam interbiu dengan Mekong Review.

Gerakan belakang tabir yang diusahakan oleh UMNO dan Pas sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir itu tentu saja tidak memeranjatkan kerana kedua-dua parti sudah ada hubungan yang rapat sebelum itu melalui keintiman yang berlaku antara Najib Razak dengan Hadi Awang.

Sudah pasti pada waktu itu apabila didapati Najib dalam keadaan terumbang-ambing tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, Pas adalah pihak yang dengan tangan terbuka sedia memberi pertolongan.

Tetapi, siapakah perantara dalam Pakatan Harapan yang dihubungi oleh UMNO dan Pas untuk menjayakan gerakan belakng tabir itu?

Adakah ini ada kaitan dengan pengakuan Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa Najib ada menghubunginya sebanyak dua kali pada malam keputusan pilihanraya diumumkan iaitu sebaik mendapati BN tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan?

Adakah juga ia ada kena-mengena dengan apa yang pernah disebut oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa beliau turut ditawarkan untuk menjadi Perdana Menteri oleh Agong, namun menolaknya kerana akur dengan persetujuan Pakatan Harapan bahawa kerusi itu adalah milik Tun Mahathir?

Siapakah Ahli-Ahli Parlimen Melayu/Islam yang telah dihubungi untuk melompat parti itu?

Adakah ada di antara Ahli Parlimen itu akhirnya mendedahkan mengenai gerakan belakang tabir tersebut kepada Tun Mahathir?

Maka, dengan peristiwa yang tidak menjadi kenyataan itu tapi diimbas kembali oleh Tun Mahathir, apakah maksud tersirat beliau berbuat demikian?
Apa akan berlaku selepas ini?

Tun Mahathir tetap akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun dan kemudian menyerahkan jawatan itu kepada Anwar ATAU…..? (ShahbudinHusin 21/11/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x