Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PAS KINI SUDAH JADI MACAM UMNO, SAMA-SAMA ASSABIYAH

Hanya kerana isu ICERD yang sepatutnya tidak perlu lagi terus dibangkitkan, Pas secara nyata telah menukar perjuangannya daripada Islam kepada agenda bangsa serta perkauman yang sempit.

Tentulah tidak menjadi kesalahan jika Pas sekadar mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kedudukan serta hak istimewa bagi orang Melayu dan Bumiputera, tetapi apa yang ternampak sekarang parti itu juga mahu melihat wujudnya pergaduhan di negara ini melalui api perkauman yang ditiupkannya bersama dengan UMNO.

Ketika berucap di himpunan di Pasir Salak Sabtu lepas, sambil bersetuju untuk bersama dengan UMNO untuk mengadakan perhimpunan lebih besar di Kuala Lumpur pada 8 Disember depan, Hadi Awang turut mencabar Pakatan Harapan agar menurunkan penyokong mereka bagi bersaing dengan program yang bakal dianjurkannya bersama dengan UMNO itu.

Tidakkah ini bermakna Hadi secara sedar mahu melihat berlakunya pergaduhan dan perkelahian antara  kedua-dua penyokong?

Apa perlunya beliau melontarkan cabaran itu kalau bukan dengan niat untuk melihat tercetusnya pergaduhan dan perkelahia kaum, walaupun difahami tujuan besarnya ialah untuk menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad?

Sedari dulu, ketika penganjuran pelbagai perhimpunan aman seperti Bersih dan seumpamanya, pihak yang selalu mahu membuat kacau dengan turut sama mengadakan perhimpunan secara serentak dan menggunakan isu kaum ialah UMNO dan mereka yang sekomplot dengannya.

Tujuannya tidak lain ialah untuk mencetuskan pergaduhan serta huru-hara dan dengan harapan BN dapat berkuasa selama-lamanya.

Bagaimanapun,  matlamat itu tidak pernah kesampaian kerana penyokong UMNO selalunya hanya ratusan yang dapat dikumpulkan, sementara mereka yang menyokong Pakatan Harapan biasanya mampu menampilkan kehadiran mencecah ratusan ribu ramainya.

Sebaliknya sekarang ini, Pas yang sudah setuju bersama UMNO mengadakan perhimpunan pada 8 Disember depan, terang-terang telah meniru taktik cari gaduh itu dengan melontarkan cabaran kepada Pakatan Harapan agar menurunkan penyokongnya pada waktu yang sama mereka akan berhimpun.
Di mana ciri-ciri Islamnya cabaran Hadi itu, selain tiupan sentimen api perkauman yang mengajak kepada pergaduhan?

Pakatan Harapan bukanlah parti yang suka bergaduh, apatah lagi setelah menjadi kerajaan sekarang kerana keutamaannya ialah membina negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Oleh itu, tiada keperluan sama sekali untuk menyahut cabaran Hadi yang tidak Islamik itu.

Dalam waktu yang sama, nada Hadi melontarkan cabaran itu sebenarnya adalah sama dengan ajakan Zahid Hamidi agar penyokong UMNO “mengamuk” membantah ICERD.

Jika gesaan Zahid Hamidi itu adalah berbahaya kepada keharmonian serta perpaduan dalam negara, bahkan disebut oleh Tun Mahathir mungkin akan mewujudkan kekacauan, cabaran Hadi juga sebenarnya tidak kurang bahayanya.

Kedua-dua gesaan dan cabaran itu jelas menjurus kepada mahukan pergaduhan dan perkelahian.

UMNO sudah bermain dengan sentimen perkauman sempit sejak sekian lama dan pada PRU14 yang lalu, mainan serta tiupan perkauman itu sudah pun ditolak rakyat dengan menghumban parti itu daripada persada kuasa yang dipegang sejak 61 tahun lamanya.

Apakah UMNO masih tidak sedar bahawa tiupan api perkauman lebih membawa kepada kekalahan daripada kemenangan?

Tetapi, yang lebih malang dalam hal ini ialah Pas yang dulu elok-elok berjuang atas nama agama, kini nampaknya semakin menjauhkan diri daripada jalan lurus yang diredhai Tuhan dengan beralih kepada jalan bengkang-bengkok yang melebihkan bangsa berbanding agama.

Kalau dulu kita sering mendengar Pas berkata, mereka sedia menerima UMNO jika ia sanggup beralih kepada perjuangan Islam, realitinya sementara UMNO tidak ternampak lebih menuju ke arah Islam sekarang ini, sebaliknya Pas yang jadi lebih assabiyah akhirnya. (ShahbudinHusin 19/11/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x