Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MELIHAT KEKECOHAN YANG BERLAKU, APAKAH BERSATU MASIH MAHU MENIRU SISTEM PEMILIHAN PKR?

Pemilihan PKR baru saja berakhir dan meskipun kongres parti itu sudah bermula hari ini dan akan berakhir esok, tetapi keputusan penuh masih lagi tidak dapat diumumkan.

Bagi pertandingan jawatan timbalan presiden, yang diketahui hanyalah Azmin Ali dikatakan berjaya menewaskan Rafizi Ramli, namun jumlah perolehan undi yang sebenar belum lagi boleh dimuktamadkan.

Semua kelewatan dan pelbagai masalah lain yang timbul adalah berpunca daripada sistem satu ahli satu undi serta kaedah pengundian secara e-voting yang diperkenalkan oleh PKR dalam sistem pemilihannya pada kali ini.

Selain kaedah itu menyebabkan pemilihan berlangsung dalam tempoh yang agak lama iaitu hampir dua bulan dan menyebabkan ramai keletihan, pengundian secara e-voting yang diperkenalkan juga dilihat telah merosakkan imej parti itu berikutan pelbagai gangguan dan kekecohan yang timbul daripadanya.

Bayangkan, itu baru yang keluar mengundi dalam pemilihan PKR kali  ini hanya kira-kira 140 ribu saja daripada keseluruhan ahlinya yang berjumlah hampir 900 ribu orang.

Bagaimana agaknya jika yang keluar mengundi mencecah sehingga 200 ribu atau 300 ribu ahli?

Disebabkan itu, Anwar Ibrahim yang kini merupakan Presiden PKR dalam reaksi segeranya turut mahu mengkaji semula sistem pemilihan parti itu bagi mengelakkan apa yang berlaku kali ini tidak berulang di masa akan datang.

Bagaimana dengan Bersatu? Masih mahukah mereka meniru kaedah dan sistem pemilihan PKR itu?

Berkaitan dengan pemilihan Bersatu yang dijadualkan pada tahun depan, parti itu sebelum ini dilaporkan mahu meniru kaedah pemilihan yang diamalkan oleh PKR, meskipun sistem sedia ada yang termaktub dalam perlembagaannya adalah berasaskan perwakilan.

Terdapat segelintir golongan dalam Bersatu yang kononnya menjunjung ketelusan, keterbukaan dan mahu amalan demokrasi yang lebih baik telah terghairah untuk meniru sistem PKR bagi dilaksanakan dalam pemilihan parti pada tahun depan nanti.

Tetapi, melihat kepada kekalutan dan pelbagai masalah yang timbul dalam pemilihan PKR baru-baru ini, apakah Bersatu sudah benar-benar sedia dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi jika terus dengan keghairahan mahu meniru sistem PKR itu?

Sebagai baru parti yang strukturnya belum cukup kemas, malah ramai pemimpinnya di peringkat bahagian dan cawangan adalah muka-muka baru yang tiada pengalaman berpersatuan, kiranya terus mahu meniru sistem PKR itu, sediakah untuk berhadapan dengan kekalutan, gangguan atau kekecohan jika diandaikan yang keluar mengundi, jangankan mencecah ratusan ribu ahli, tetapi sekadar hanya 70 ribu atau 80 ribu sekali pun? (ShahbudinHusin 17/11/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x