Program pemilikan rumah baru yang dinamakan FundMyHome dilancarkan pada 4 November iaitu dua hari selepas Belanjawan 2019 dibentangkan di Parlimen.
Pada mulanya ramai yang tidak begitu faham mengenai program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad itu, selain yang difahami ialah bayaran muka yang diperlukan sebanyak 20 peratus dan selepas itu tidak perlu bayar apa-apa selama lima tahun, manakala pembayaran 80 peratus selebihnya adalah melalui pembiayaan oleh institusi kewangan, peminjam dana atau pelabur.
Lebih ghairah orangramai mengenainya ialah apabila ketika melancarkan program yang dicetuskan ideanya oleh usahawan Tong Kooi Ong itu, Tun Mahathir berkata, sejuta rumah mampu milik akan disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui program itu.
Siapalah tidak gembira dan teruja apabila kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia 6 bulan didapati sudah ada rancangan untuk menyediakan sejuta rumah untuk rakyat, meskipun selama ini pelbagai agensi dan syarikat gagal melaksanakannya.
Dalam waktu yang sama, para pemimpin UMNO terus mengkritik program tersebut kerana ia tidak jelas dari segi pembiayaannya, malah menganggap bayaran muka sebanyak 20 peratus adalah terlalu tinggi bagi rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin atas kapasiti peribadinya sebagai blogger turut meluahkan kebimbangan program FundMyHome itu akan menambahkan lagi amalan kronisne dalam kerajaan sekarang.
Tetapi, rasa teruja dan gembira rakyat terhadap program FundMyHome itu segera bertukar menjadi mimpi ngeri apabila semalam Tong Kooi Ong menjelaskan bahawa ia bukanlah program bagi menyelesaikan masalah perumahan untuk orang miskin dan mereka yang berpendapatan sederhana, sebaliknya dirangka untuk mereka yang kaya dan berpendapatan tinggi.
Apa? Hanya untuk orang kaya?
Bagaimanakah sebuah kerajaan yang baru diberi kemenangan oleh rakyat dengan menumbangkan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun boleh melancarkan program pemilikan rumah untuk orang kaya semata-mata, sedangkan belum berbuat apa-apa untuk menyelesaikan perumahan bagi rakyat biasa?
Apakah Tun Mahathir telah diperdaya untuk melancarkan program tersebut tanpa menyedari golongan sebenar yang disasarkan melalui FundMyHome itu?
Sebelum kritikan jadi lebih meluas dan pihak pembangkang dengan mudah mengambil kesempatan untuk terus menyerang kerajaan, adalah lebih baik program ini dibatal atau ditangguhkan dengan segera.
Kerajaan sepatutnya lebih mengutamakan keperluan perumahan untuk rakyat miskin dan mereka yang berpendapatan sederhana sebelum mengutamakan mereka yang bergaji tinggi serta golongan yang kaya.
Adalah amat buruk imej kerajaan ini di mata rakyat jika lebih mengutamakan orang kaya berbanding orang miskin dalam programnya.
Orang kaya, dengan wang yang banyak yang mereka miliki, mereka sebenarnya tidak perlukan apa-apa program yang dilihat dibantu oleh kerajaan untuk mereka memiliki sebarang rumah atau kediaman.
Mereka boleh saja dengan mudah membeli banglo, kondo mewah, banglo berkembar, pangsapuri di atas kayangan atau apa saja jenis kediaman sekali pun dan di mana-mana yang dihajati melalui banyaknya wang yang ada dalam poket mereka.
Yang perlu dibantu dan disediakan program khusus untuk memiliki rumah ialah mereka yang miskin dan kurang berkemampuan.
Apakah Pakatan Harapan tidak sedar hakikat itu?
Oleh itu, sebelum terlambat, adalah lebih baik Tun Mahathir dan kerajaan bertindak membatalkan atau menjauhkan diri daripada program FundMyHome yang rupa-rupanya dilancarkan hanya untuk golongan kaya dan berpendapatan tinggi semata-mata.
Program ini tidak menggambarkan Pakatan Harapan berjuang untuk rakyat terbanyak, sebaliknya menjuruskan keutamaannya hanya kepada kelompok kecil golongan yang sudah sedia selesa kehidupan mereka. (ShahbudinHusin 17/11/2018)