RASUAH MELIBATKAN SURI RUMAH SEPATUTNYA MEMBUATKAN NAJIB MALU PADA DIRINYA SENDIRI

Pertuduhan meminta rasuah yang dikenakan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor semalam sepatutnya memberi kesedaran kepada kita semua tentang bagaimana buruk dan teruknya gejala itu di negara ini ketika era pemerintahan suaminya, Najib Razak sebelum ini.

Dalam pendakwaan di mahkamah semalam, Rosmah didakwa meminta rasuah hampir RM200 juta bagi pembekalan projek solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak. 

Jumlah yang diminta itu adalah bersamaan dengan 15 peratus daripada harga projek yang bernilai RM1.25 bilion.

Turut didakwa bersama Rosmah ialah bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor yang dikatakan sebagai “orang suruhannya” bagi urusan mengutip wang daripada syarikat yang diberikan kontrak solar tersebut.

Pendakwaan terhadap Rosmah semalam adalah yang kedua dihadapinya setakat ini di mana sebelum ini beliau sudah dikenakan dengan 17 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan kesalahan gagal menyediakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Betapa teruk dan buruknya gejala rasuah berdasarkan pertuduhan terbaru terhadap Rosmah semalam boleh disimpulkan seperti berikut:-

  • Rosmah sebelum ini kerapkali mengaku beliau hanyalah seorang suri rumah yang tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berhubung jawatan yang disandang oleh suaminya. Jadi, bagaimanakah, beliau sebagai seorang suri rumah boleh ada urusan perniagaan melibatkan ratusan juta ringgit dengan sebuah syarikat di Sarawak dengan menggunakan kedudukan serta jawatan suaminya?
  • Bagaimanakah Najib boleh membenarkan amalan itu berlaku di bawah pentadbirannya di mana dilaporkan beliau sebagai Menteri Kewangan telah meluluskan pembayaran kepada syarikat terbabit, meskipun projek belum lagi disiapkan? Adakah Najib turut bersubahat dan bakal didakwa selepas ini?
  • Tidakkah ini juga menggambarkan tahap kegiatan rasuah begitu teruk dan buruk di bawah BN sehingga seorang suri rumah pun terlibat sama dalam kegiatan terkutuk itu, sedangkan di era Perdana Menteri sebelumnya, perkara seperti ini tidak pernah kedengaran sama sekali berlaku?
  • Jika seorang suri rumah sudah pandai meminta rasuah atau komisyen sebanyak 15 peratus, berapakah pula nilai komisyen yang mungkin diminta oleh menteri, timbalan menteri dan orang-orang besar lain yang ada kuasa jika mereka meluluskan sesuatu projek?
  • Apakah ini satu-satunya saja urusan perniagaan yang pernah dilakukan oleh Rosmah sepanjang 9 tahun Najib menjadi Perdana Menteri atau banyak lagi “deal” yang sudah berjaya dilakukannya?
  • Kalau suri rumah di kediaman Perdana Menteri sudah pandai meminta rasuah sehingga beratus juta, apakah suri rumah kepada menteri dan timbalan menteri ketika era BN dahulu tidak terghairah untuk melakukan amalan yang sama dengan menggunakan jawatan atau kedudukan suami masing-masing?

Sementara kita tentunya bersyukur kerana BN akhirnya berjaya ditumbangkan dan sekaligus dapat membanteras sama sekali kegiatan suri rumah itu daripada terus berleluasa, Najib dalam hal ini sepatutnya berasa sangat-sangat malu kepada dirinya sendiri.

Punca Najib ditolak rakyat sebenarnya banyak disumbangkan oleh hal-hal yang berkaitan karenah dan perilaku isterinya, selain beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB yang mencemarkan nama rakyat dan negara di seluruh dunia.

Oleh itu, sukar untuk kita menggambarkan “betapa tebal kulit muka” Najib apabila setelah hilang kuasa ini pun beliau masih mampu tampil seolah-olah dirinya suci bersih, tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan dan suri rumah di kediamannya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang mencemarkan.

Realitinya, belum dijatuhkan hukuman pun kekotoran pada dirinya sudah boleh dilihat dengan begitu jelas oleh sesiapa yang waras dan tahu menggunakan akal fikiran. 
Malah, dengan suri rumahnya sendiri terpalit dengan dakwaan rasuah beratus-ratus juta, gambarannya gelaja itu adalah paling buruk dan teruk sekali ketika beliau mentadbir negara berbanding mana-mana era Perdana Menteri sebelum ini.

Tidak malukan Najib kepada nama besar arwah bapanya, Tun Razak yang diketahui umum begitu sederhana dan bersih, selain sumbangannya juga amat besar ketika menjadi Perdana Menteri kedua sebelum ini? (ShahbudinHusin 16/11/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:08 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments