BERHENTI TONJOLKAN AZMIN DAN JANGAN LUPAKAN MUHYIDDIN

Sama ada sebelum pemilihan PKR atau sekarang ini, cakap-cakap yang cuba menonjolkan Azmin Ali sebagai bakal Perdana Menteri boleh dikata boleh didengari di mana-mana saja.

Lebih-lebih lagi setelah setakat ini Azmin dilihat bakal menang (walaupun belum rasmi) mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan Rafizi Ramli, penonjolan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu semakin kuat lagi menusuk ke gegendang telinga.

Azmin tidak disaja dikatakan sebagai bakal Perdana Menteri masa depan, malah digembar-gemburkan juga sebagai calon Perdana Menteri ke-8 untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad.

Selain secara tiba-tiba begitu banyak gossip liar dan khabar-khabar burung dari hutan mengenai Anwar Ibrahim yang mahu ditolak ke tepi, persaingan sengit antara Azmin dengan Rafizi juga dianggap penolakan ahli PKR sendiri terhadap kedudukan Presiden PKR itu sebagai bakal pengganti kepada Tun Mahathir.

Kata mereka, jika benar ahli PKR mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8, sudah tentu Rafizi yang merupakan “kuda pilihannya” mampu menang mudah menewaskan Azmin?

Mengapa tiba-tiba saja Anwar mahu diketepikan sebagai bakal Perdana Menteri yang telah dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan, malah sebelum PRU14 Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin juga sanggup beberapa kali mengadakan pertemuan dengannya di mahkamah dan dipenjara?

Mengapa baru sepantas enam bulan selepas mengambil alih kuasa Putrajaya, termasuk daripada kalangan Bersatu sendiri, sudah ada yang bagai tidak sabar mahu menonjolkan Azmin dan mengenepikan Anwar?

Dalam hal ini, oleh kerana Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan baru di mana permasalahan rakyat pun banyak yang belum diselesaikan, soal perebutan jawatan Perdana Menteri tidak sepatutnya dijadikan tajuk utama perjuangannya.

Ikut sajalah perjanjian yang sudah diputuskan di mana selepas Tun Mahathir, penggantinya ialah Anwar. Memungkiri perjanjian hanya membuka ruang keretakan kepada Pakatan Harapan dan memberi laluan untuk pembangkang mengambil kesempatan.

Kalau pun pun mahu difikirkan siapa pengganti selepas Anwar, yang paling layak juga bukanlah Azmin sebenarnya, tetapi Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sekarang.

Azmin masih terlalu mentah dari segi pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi calon Perdana Menteri, baik selepas Anwar, jauh selepas kalau mahu diletakkan mendahului Anwar. 

Pengalamannya selama ini hanyalah kira-kira tiga tahun sebagai Menteri Besar Selangor dan baru berpengalaman sebagai menteri sejak kira-kira enam bulan yang lalu.

Mampukah beliau menjadi bakal Perdana Menteri dengan pengalaman yang sedemikian?

Mahu tidak mahu, kita harus mengakui bahawa Muhyiddin jauh lebih berpengalaman dan berpengetahuan berbanding Azmin. Beliau pernah jadi menteri sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, malah pernah juga berpengalaman menjadi Menteri Besar Johor selama hampir 10 tahun.

Meskipun Muhyiddin baru saja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreasnya, tetapi beliau kini sedang menunjukkan pemulihan yang sangat memberangsangkan selepas menjalani beberapa rawatan kimoterapi. 

Berdasarkan petunjuk kesihatannya sekarang, tidak mustahil Munyiddin juga mampu pulih dan sihat seperti sediakala sebagaimana Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang juga pernah menjalani pembedahan kanser pada 2015 yang lalu.

Oleh itu, jangan diabaikan Muhyiddin sebagai pemimpin selepas Anwar yang dirasakan paling layak untuk mengambil teraju pentadbiran negara ini dan faktor kesihatannya bukanlah halangan.

Hanya selepas Muhyiddin, barangkali barulah sesuai untuk sesiapa mahu menonjolkan Azmin. Ketika ini Azmin masih perlu banyak belajar dan menimba pengalaman lagi.

Lagi pula, sebelum PRU14 lalu, beberapa “kartel”  Azmin jelas menampakkan tidak setuju dengan perlantikan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri. Banyak suara-suara yang mahukan Azmin sendiri diletakkan sebagai calon Perdana Menteri ketika itu, kononnya untuk mewakili suara orang muda yang merupakan kelompok terbesar di kalangan pengundi negara ini.

Zuraidah Kamaruddin, Ezam Mohd Nor dan PKR Selangor yang diketuai oleh Azmin sendiri jelas bersuara lantang menolak Tun Mahathir pada waktu itu.

Tetapi, pernahkah Muhyiddin bersikap begitu terhadap Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 15/11/2018)

Updated: 26 March 2019 — 2:08 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.