Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PTPTN SUDAH MOHON MAAF, BAGAIMANA DENGAN JANJI YANG LAIN-LAIN?

Tindakan Pengerusi PTTN, Wan Saiful Wan Jan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji melepaskan peminjam daripada pembayaran jika pendapatan mereka kurang daripada RM4,000 sebulan sebagaimana terkandung dalam manifesto PRU14, barangkali merupakan tindakan yang baik dan terpuji.

Katanya, janji berkaitan PTPTN yang terkandung antara 10 janji dalam tempoh 100 hari itu terpaksa dimungkiri selepas melihat hutang negara yang tinggi dan keperluan pelajar terhadap dana pendidikan yang disumbangkan melalui pembayaran balik hutang oleh pelajar-pelajar terdahulu.

Tetapi, apakah cukup dengan memohon maaf saja?

Apakah alternatif lain yang akan ditawarkan kepada peminjam PTPTN berikutan kegagalan menunaikan janji itu?

Adakah ini bermakna peminjam PTPTN akan dipaksa membuat bayaran balik meskipun dalam kedudukan mereka hanya bekerja sambilan dan berpendapatan RM1,000 sebulan seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini?

Semalam blog ini juga menulis mengenai 10 janji dalam maninesfo 100 hari Pakatan Harapan yang sebahagiannya masih banyak tidak ditunaikan sehingga ke hari ini.

Yang lebih malang, meskipun tempoh 100 hari sudah berlalu, tetapi semakin kurang pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bercakap mengenainya atau ternampak bersungguh-sungguh mahu berusaha  menunaikan janji-janji itu dalam tempoh 200 hari, 300 hari atau tempoh lain yang seterusnya.

Hari ini Wan Saiful merupakan orang pertama yang tampil memohon maaf berikutan kegagalan menunaikan janji berkaitan hutang PTPTN itu.

Sama ada permohonan maaf beliau ini akan diterima dengan baik atau tidak atau ia akan diterjemahkan dalam pilihanraya umum lima tahun akan datang, mungkin sesuatu yang sukar untuk dijangka buat waktu ini.

Namun, sebaik-baiknya, selain memohon maaf, PTPTN haruslah juga memikirkan alternatif pembayaran lain yang munasabah kepada sebahagian besar peminjam yang ketika ini hanya bekerja secara sambilan dan belum memperolehi pekerjaan tetap yang setaraf dengan kelulusan mereka.

Sekadar memohon maaf tetapi tidak menawarkan apa-apa alternatif lain hanya menunjukkan sikap tidak bertangjawab dan hanya ingin lepas tangan semata-mata.

Meskipun sebelum berkahwin kita berjanji mahu membelikan kereta kepada bakal isteri, tetapi dapat menghadiahkannya motorsikal selepas berkahwin pun barangkali sudah memadai berbanding tidak membelikan apa-apa langsung.

Selain itu, apakah hanya PTPTN saja yang berani tampil memohon maaf dan mengakui kegagalan dalam menunaikan janji?

Bagaiman dengan janji untuk melangsaikan hutang-hutang tidak wajar melibatkan peneroka Felda, menubuhkan suruhanjaya siasatan terhadap MARA, Tabung Haji dan Felda itu sendiri?

Bilakah sebenarnya tempoh masa atau jaminan bahawa 10 janji dalam maninesfo 100 hari dapat dilaksanakan sepenuhnya? (ShahbudinHusin 10/11/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x