Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MAZLEE OH MAZLEE….

Mempertahankan kritikan Penasihat Media dan dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin berhubung perlantikan bekas menteri era BN, Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKM, Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik berkata, ia dibuat berdasarkan merit dan setelah mendapat kata sepakat pihak tertinggi.

Jika A Kadir berasa bingung dengan perlantikan itu kerana Abdul Wahid adalah bekas menteri era Najib Razak dan telah diarah berhenti sebagai Pengerusi PNB sebaik BN tidak lagi menguasai kerajaan dan kini tiba-tiba diberikan jawatan mengetuai Lembaga Pengarah UKM, jawapan Dr. Mazlee barangkali lebih membingungkan seluruh penyokong Pakatan Harapan.

Yang pertama, dari segi merit apakah yang ada pada Abdul Wahid yang menjadi pertimbangan Dr. Mazlee untuk menganugerahkannya jawatan itu?

Apakah mereka yang lain yang bukan bekas menteri BN tiada merit langsung untuk dilantik ke jawatan tersebut?

Yang kedua, siapakah pihak tertinggi yang didakwanya telah memberi kata sepakat atau persetujuan mengenai perlantikan itu?

Oleh kerana Dr. Mazlee merupakan seorang menteri, pemahaman umum mengenai pihak tertinggi yang berada di atasnya hanyalah sama ada Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri atau Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam hal ini, bolehkah Dr. Mazlee berterus-terang siapakah pihak tertinggi yang dimaksudkannya itu?

Selain itu, alasan lain yang lebih membingungkan lagi ialah apabila Dr. Mazlee cuba mewajarkan perlantikan Abdul Wahid itu dengan berkata, “pegawai-pegawai kerajaan juga daripada kerajaan terdahulu.”

Aduhh…kenapalah kita ada seorang Menteri Pendidikan yang begitu lemah tahap pemikiran dan kurang kefahaman mengenai perbezaan antara pegawai kerajaan dengan seseorang yang dilantik melalui kuasa politik?

Menyamakan perlantikan pengerusi dengan kedudukan pegawai kerajaan yang merupakan kakitangan tetap tidak kira parti mana pun yang menjadi kerajaan, tidak lebih hanyalah menyerlahkan kelemahan  dan kedangkalan Dr. Mazlee sebagai seorang menteri.

Sudahlah sebelum ini terpalit dengan kontroversi tidak perlu seperti kasut hitam, warna stokin dan kedudukannya sendiri sebagai Presiden UIAM, nama beliau nyata semakin tercemar dengan tindakannya melantik bekas menteri BN mengetuai Lembaga Pengarah UKM.

Apakah di mata Dr. Mazlee tiada tokoh lain selain bekas menteri BN yang lebih layak mengetuai Lembaga Pengarah UKM?

Mazlee oh Mazlee….jika dibiarkan mungkin entah apa lagi kontroversi yang akan diciptanya atau entah orang BN mana lagi yang akan dilantiknya selepas ini.

Dan akhirnya, berapa lama lagikah watak seperti Dr. Mazlee ini yang jelas menyusahkan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan perlu terus berada sebagai menteri kabinet? (ShahbudinHusin 10/11/18)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x