TEMPOH BERBULAN MADU SUDAH BERAKHIR

Tamrin Tun Ghafar
Selasa – 30/10/18
( 1 –  22 )

1.   A Kadir Jasin mencadangkan kesemua Menteri Pakatan Harapan ( PH )  perlu ‘disekolahkan’.

2.  Cadangan itu berputik dari kekecewaan dan ketakutan beliau melihat apa yang sedang berlaku di kalangan beberapa orang Menteri.

3.  Bukan sahaja beliau malah sudah ramai mereka yang menyokong PH termasuk diri saya sendiri mula mempersoalkan kewibawaan dan prestasi sesetengah mereka yang telah diberi peluang oleh Perdana Menteri itu.

4.  Kerisauan beliau ini ada asasnya :

i.  Menampakan seolah – olah mereka terlalu gelojoh  untuk menerima Bintang Gelaran sedangkan khidmat mereka baru sahaja menjangkau  6 bulan sejak PRU14 yang berlangsung pada 9hb Mei lepas. Ia umpama murid yang baru ke sekolah, belum lagi duduk peperiksaan, tetapi sudah beratur mengambil ‘certificate’.

Jika mengandung pun terpaksa menunggu 9 bulan sebelum melahirkan anak.

ii.  Prestasi mereka tidak menyerlah dan menyakinkan, malah ada yang bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.

5.  Dalam masa yang sama pendirian Perdana Menteri pula agak berbeza dengan luahan Kadir; tapi ada logiknya.

6.  Sebagai Perdana Menteri beliau terpaksa menampakkan pendirian mempertahankan Ahli Kabinetnya dengan hujah walaupun terdapat beberapa orang Menterinya TIDAK membantu beliau namum mereka tidaklah merompak dan menyamun harta negara.

7.  Kepada saya teguran dan pendirian kedua-duanya (A Kadir Jasin dan Perdana Menteri) adalah betul.

8.  Menteri-menteri yang dilantik dan pegawai – pegawai mereka pula kenalah menyesuaikan diri tanpa terbawa – bawa tingkah laku lama iaitu dari Pembangkang kepada Pemerintah.

9.  Rakyat sedang meneropong setiap  perkataan
dan langkah menteri dan pegawai – pegawai mereka.

10.  Begitu juga mereka yang berjawatan Menteri Besar dan EXCO khasnya; mereka tidak harus bersikap kasar dan tidak menghormati pandangan masyarakat yang mengundi mereka.

11.  Hentikan  SERTA MERTA jika ada unsur – unsur salah guna kuasa dan rasuah di kalangan mereka.

12.  Selain dari itu, mereka perlu senantiasa ingat bahawa mereka terhutang budi kepada rakyat yang membolehkan mereka berkuasa, bukannya kepada Sultan dan keluarga atau kepada Yang Di Pertua Negeri; malah ada Sultan dan ahli keluarga seperti Johor dan Pahang dan Yang DiPertua Negeri Melaka yang berkempen untuk UMNO dan BN dalam pilihanraya yang lepas.

13.  Tun Khalil Yaakub umpamanya telah melawat beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN dan memberi pandangan serta rangsangan kepada petugas – petugas pilihanrayanya.

14.  Perdana Menteri harus mengambil tindakan terhadap mereka yang telah melanggar Perlembagaan.

15.  Perlu diingatkan jika rakyat boleh menumbangkan UMNO/ BN yang telah berkuasa selama 61 tahun , rakyat juga boleh 
menumbangkan Kerajaan PH pada Pilihanraya Umum akan datang.

16.  Jika nak terus berkuasa lebih lama lagi maka segala amalan buruk MESTI diberhentikan segera.

17.  Saya mencadangkan beberapa perjumpaan hati ke hati di antara semua Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen PH dengan Perdana Menteri  (retreat) diadakan dalam masa terdekat dan diikuti dengan sekurang – kurangnya sekali setahun.

18.  Politik cantas mencantas, baling batu sembunyi tangan juga harus diberhentikan serta merta.

19.  ‘JANGAN  SEBAB  NILA  SETITIK , MAKA  ROSAK  SUSU  SEBELANGA’.

20.  Biarlah semalam berlalu untuk kecemerlangan Negara dan keselesaan rakyat pada hari ini dan esok.

21.  JANGAN  KECEWAKAN  HARAPAN  RAKYAT KHASNYA YANG  TELAH  MEMBERI  SOKONGAN KEPADA PAKATAN HARAPAN.

22.  Berkhidmat Untuk Rakyat , Bukan Untuk Diri dan Keluarga.

Terima Kasih.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments