Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PERSIDANGAN BERKELOMPOK BERSATU WP BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA

Malam tadi telah diadakan persidangan tahunan Bersatu secara berkelompok bagi seluruh bahagian-bahagian dalam Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan jumlah kehadiran yang melimpah memenuhi Dewan Rafflesia, D’Saji Tasik Titiwangsa serta semangat yang ditunjukkan oleh setiap wajah pejuang-pejuang bangsa yang hadir yang lengkap berbaju Melayu merah serta bersampin, apa yang yang boleh dikatakan majlis tersebut telah diadakan dengan jaya dan cemerlang sekali.

Ia sekaligus menandakan masa depan yang cerah untuk Bersatu Wilayah Persekutuan terus melebarkan sayap perjuangannya di ibukota yang penuh cabaran dan pancaroba ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Presiden Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memuji Bersatu Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Kapt. Suhaimi Yahya atas kejayaan memastikan kehadiran perwakilan dan pemerhati yang ramai dan padat itu.

Kata beliau,  selain jumlah kehadiran adalah penting, Bersatu juga mesti menggunakan platform persidangan tahunan ini untuk memastikan hala tuju perjuangan parti dalam membela nasib rakyat sentiasa terpelihara.

Selain itu, beliau juga mengingatkan ahli-ahli Bersatu supaya selalu menjaga perpaduan serta mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Kapt. Suhaimi dalam ucapannya mengingatkan ahli-ahli Bersatu di ibukota ini bahawa perjuangan mereka adalah lebih berat berbanding rakan-rakan di tempat dan negeri lain.

Katanya, di Wilayah Persekutuan ini, masalah utama yang dihadapi ialah berkaitan kemiskinan bandar dan bagaimana untuk membantu serta mengatasinya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga desakan dan cadangan  kepada kerajaan, DBKL dan pihak-pihak berkaitan untuk diberi perhatian iaitu:-

  1. Menggesa DBKL mewajibkan pembinaan rumah mampu milik berharga RM250 ribu dan ke bawah bagi setiap projek perumahan yang diluluskan di Wilayah Persekutuan
  2. Meminta DBKL dan agensi kerajaan lain melakukan tindakan bersepadu mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing yang bebas menjalankan perniagaan serta mendatangkan pelbagai masalah lain kepada rakyat tempatan.
  3. Mencadangkan agar diusahakan pendekatan proaktif untuk suri rumah menjalankan perniagaan secara dalam talian atau online untuk membantu menambah pendapatan keluarga masing-masing.

Selain dihadiri oleh semua Ketua-Ketua Bahagian Bersatu dalam Wilayah Persekutuan, pemimpin lain yang turut hadir antaranya ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Aziz Yassin dan A Kadir Jasin. (ShahbudinHusin 30/10/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x