Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KALAH DAN LEMAH KEPADA WANITA AL-JAZEERA, DI MANA DARAH BUGIS NAJIB?

Menonton interbiu Najib Razak bersama Al-Jazeera semalam, suatu hakikat yang pasti ialah beliau kini dalam keadaan cukup tertekan, emosi tak stabil dan seperti menyimpan banyak kemarahan dalam dirinya.

Daripada awal  program lagi, wajahnya sudah terlihat kemerah-merahan, tidak ceria serta penuh dengan jalur kekeruhan yang gagal diselindungkan.

Untuk itu, tidak menghairankan apabila diasak dengan soalan-soalan berkaitan Jho Low dan Altantuya oleh Mary Ann Jolley, beliau akhirnya gagal mengawal emosi, membuka pekung kemarahan dan akhirnya meninggalkan sessi temubual itu.

Seluruh dunia menyaksikan dengan nyata Najib yang selama ini kelihatan gah telah kalah, lemah dan terkulai kepada seorang wanita dalam program 101 East itu.

Yang jelasnya, watak Najib dalam interbiu itu jauh berbeza sekali dengan sifat tenang dan sabar yang selalu dipamerkannya selama ini.

Ia juga jauh berbeza dengan gambaran yang rakyat fahami apabila membaca tulisan-tulisannya di Facebook, sama ada ketika mengkritik kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad, menegur Lim Guan Eng atau mempertahankan dirinya berkaitan 1MDB, Jho Low, derma RM2.6 bilion dan sebagainya.

Apakah yang membuatkan Najib begitu tertekan dan mudah beremosi, sedangkan yang menemubualnya hanyalah seorang wanita saja?

Benarkah beliau tertekan kerana ketika interbiu itu, sebagaimana yang didakwanya, beliau begitu risaukan tentang keadaan isteri dan anak-anaknya yang sedang disoal siasat oleh pihak polis?

Tetapi, bukankah ketika itu Rosmah Mansor, Riza Aziz dan Norashman hanya diambil keterangannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil saja dan bukannya dilokap atau digari pun oleh pihak polis?

Lebih daripada itu, kedatangan mereka juga turut ditemani oleh beberapa peguam?

Jadi, untuk apa Najib masih perlu risau keadaan mereka?

Lagi pun, bukankah Najib acapkali mengaku sebelum ini bahawa beliau adalah berketerunan pahlawan Bugis yang pantang menyerah kalah, waima sehingga bumi terbelah dua?

Takkanlah hanya diasak dengan soalan-soalan panas oleh seorang wanita saja sudah mudah mengaku kalah, menjadi lemah dan akhirnya bangun meninggalkan sessi interbiu, suatu pentas perjuangan untuk mempertahankan dirinya sendiri?

Ke mana menghilangnya darah pahlawan Bugis yang ada dalam dirinya selama ini?

Apakah darah Bugis itu hanya mengalir dalam tubuhnya ketika menjadi Perdana Menteri saja?

Ataukah yang sebenarnya membuatkan Najib tertekan sekarang ialah kerana memikirkan 38 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya dan 17 lagi pertuduhan melibatkan isterinya?

Jika dengan hanya 55 pertuduhan saja sudah menjadikannya tertekan dan gagal mengawal perasaan di hadapan seorang wanita, bagaimanakah Najib mahu berdepan soalan-soalan pihak pendakwa di mahkamah nanti yang tentunya lebih panas dan berapi lagi? 
Selain itu, bagaimana kalau lebih banyak lagi pertuduhan bakal dihadapinya selepas ini? (ShahbudinHusin 28/10/2018).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *