SYABAS PEMUDA UMNO

Di sebalik beberapa orang yang tampil bersuara mahu Zahid Hamidi terus mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO, malah beliau juga sudah menetapkan jadual jelajah ke seluruh negara untuk membersihkan namanya daripada 45 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya, Pemuda UMNO hari ini dengan berani memunculkan suaranya yang berbeza.

Saranan Pemuda UMNO dalam mesyuarat Exconya hari ini ialah mahu agar Zahid Hamidi bercuti sementara sehingga kes mahkamahnyanselesai.

“Kami memohon Zahid Hamidi untuk mempertimbangkan cuti seketika daripada menjalankan tugas-tugas parti. 

“Tidak adil membebankan beliau dalam keadaan UMNO mahu terus bergerak ke hadapan.

“Berehat bukan bererti dia bersalah atau perlu melepaskan jawatan. Kita minta dia bercuti dan berehat untuk memfokuskan kes yang dihadapinya sehingga selesai,” kata Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Asyraf Wajdi Dusuki selepas mempengerusi mesyuarat Exco Pemuda UMNO di PWTC, Kuala Lumpur.

Sesungguhnya pendirian sebulat suara Pemuda UMNO ini adalah suatu keputusan yang bukan saja berani, malah menepati kehendak majoriti ahli-ahli UMNO sendiri.

Dalam usaha UMNO mahu melangkah ke hadapan dan mendapat semula kepercayaan rakyat setelah kalah dalam PRU14 lalu, pendirian Pemuda UMNO ini sangat dialu-alukan.

Diharapkan selepas ini lebih ramai lagi pihak dalam UMNO yang akan tampil bersuara menyambut, menyokong dan sependirian dengan Pemuda UMNO itu.

Tiada pilihan sebenarnya untuk UMNO meraih semula kepercayaan rakyat, selain memberi cuti kepada Zahid Hamidi berikutan nama parti itu sudah begitu buruk di mata rakyat yang diakibatkan oleh deretan skandal yang berpunca daripada Najib Razak.

Selepas Najib yang mencemar dan membusukkan nama UMNO sehingga kehilangan kuasanya dan kemudian Zahid Hamidi pula dibebani dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram, UMNO tidak mampu lagi berketuakan pemimpin yang kotor atau telah tercemar namanya.

Untuk itu, syabas kepada Pemuda UMNO kerana telah memulakan langkah pertama ke arah menjadikan UMNO bukan saja bersih, malah mahu kelihatan dan dilihat bersih oleh rakyat jelata. (ShahbudinHusin 25/10/2018).

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of