Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SEKITAR PERSIDANGAN TAHUNAN BERSATU BAHAGIAN BATU, WILAYAH PERSEKUTUAN

Bermula 20 Oktober hingga 30 Oktober ini adalah tarikh yang ditetapkan untuk Parti Bersatu bahagian-bahagian mengadakan persidangan tahunan masing-masing.

Di Wilayah Persekutuan, Bersatu Bahagian Batu yang diketuai oleh Kapt. Suhaimi Yahya yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Negeri Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Kerja Bersatu Pusat, mengambil langkah mengadakan persidangan tahunannya seawal tarikh yang ditetapkan itu iaitu semalam.

Persidangan tahunan yang diadakan di Hotel Putra itu dirasmikan oleh Zahid Md Arip, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua Bersatu Bahagian Setiawangsa.

Dalam ucapannya, Zahid berkata, Bersatu bukanlah ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad secara tergesa-gesa, sebaliknya dengan berhati-hati dan mengambil kita banyak perkara, selain setelah melakukan pelbagai teguran untuk menyelamatkan negara.

Katanya, hanya setelah semua usaha itu menemui jalan buntu dan selepas beberapa pemimpin UMNO yang turut menegur Najib Razak dipecat daripada parti dan kerajaan, barulah beliau menubuhkan Bersatu ini.

Sehubungan itu, tambahnya, dengan Bersatu sudah menjadi kerajaan sekarang bersama Pakatan Harapan, parti ini mesti dijaga dan  diperkukuhkan sentiasa agar ia terus dapat berperanan membela bangsa dan menjaga negara untuk kepentingan generasi akan datang.

Kapt. Suhaimi pula dalam ucapannya sebelum itu meminta semua pihak dalam Bersatu agar merajinkan diri turun padang serta mendekati rakyat melalui pelbagai program yang diatur dari semasa ke semasa.

Katanya, hanya dengan turun padang saja Bersatu ini menjadi lebih dekat serta berakar di hati rakyat dan dapat memainkan peranannya membela serta membantu golongan yang memerlukan.

Kapt. Suhami mengambil contoh pokok padi yang mempunyai akar yang mampu menjadikan pokoknya hidup di dalam air atau di atas tanah yang kering, di samping bersifat mulia dengan semakin tunduk apabila makin berisi, meskipun sumbangannya kepada kehidupan manusia amat besar sekali.

Seterusnya, beliau juga mengingatkan ahli-ahli Bersatu agar tidak menjadi seperti bunga teratai yang hanya nampak cantik di permukaan air, tetapi akarnya tidak pernah jejak ke bumi.

Sementara Bersatu Bahagian Batu telah selesai mengadakan persidangan tahunannya malam tadi, bahagian-bahagian lain di Wilayah Persekutuan akan mengadakan persidangannya secara berkelompok pada 29 Oktober akan datang. (ShahbudinHusin 21/10/2018).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *