BENARKAH TUN MAHATHIR NAK LETAK JAWATAN?

Tun Mahathir Mohamad adalah seorang ‘fighter’, pejuang yang tiada tolok bandingnya, suka berlawan dan tidak pernah mengalah dalam hidupnya.

Pada satu ketika beliau ada menyebut bahawa berkelahi dengan Najib Razak antara punca yang menyebabkan otaknya terus aktif, walaupun sudah usianya sudah menjangkau 93 tahun.
Ada yang berkata, berkelahi adalah kepakaran Tun Mahathir. Beliau kerap berkelahi dan boleh dikata tidak pernah kalah setiap kali berkelahi dengan sesiapa saja.

Dalam sejarahnya juga, beliau yang kerap meminta atau mendesak mereka yang tidak disetujuinya agar meletakkan jawatan, tetapi tidak pernah sesekali beliau tunduk atau mengalah kepada mereka yang mendesaknya agar meletak jawatan.

Kalau Tun Mahathir mahu meletakkan jawatan, beliau akan melakukannya dengan kerelaan hati dan sebagai pilihan yang sudah difikirkan dengan sebaik-baiknya, tapi bukan kerana ada orang mendesaknya.

Selalunya, makin didesak untuk beliau berundur atau meletak jawatan, makin kuat semangat mempertahankan kedudukannya.

Antara sebab beliau mampu kekal selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini ialah kerana begitu banyak desakan yang memintanya meletakkan jawatan.

Itulah Tun Mahathir sebenarnya berdasarkan liku-liku perjalanan hidup dan dunia politik yang dilaluinya selama ini.

Tun Mahathir juga seorang yang suka kepada cabaran. Cabaran usia tua dan umur 93 tahun pun dilawannya untuk menumbangkan seorang Perdana Menteri bernama Najib yang tidak disetujuinya dan kemudian kembali menjadi Perdana Menteri, suatu jawatan yang dilepaskannya pada tahun 2003 dahulu, apatah lagi cabaran-cabaran yang lebih kecil daripada itu.

Lantaran itu, bolehkah diterima akal jika tiba-tiba Tun Mahathir seolah-olah didapati mengaku kalah dan menawarkan untuk meletakkan jawatan hanya kerana karenah segelintir pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengannya?

Memang Tun Mahathir pernah meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO dan berundur daripada beberapa kedudukan yang disandangnya dalam kerajaan ketika berbalah dengan Tun Abdullah Badawi dan Najib sebelum ini, tetapi langkah itu diambilnya bukan untuk mengalah, sebaliknya bertujuan bagi melangkah lebih gagah untuk menumbangkan musuh-musuhnya.

Jika Tun Abdullah dan Najib pun tumbang akhirnya, siapakah yang akan tumbang selepas ini apabila Tun Mahathir tiba-tiba mahu meletakkan jawatan ketika berdialog dengan pemandu-pemandu teksi di Langkawi?

Apakah pemandu atau syarikat teksi yang tidak bersopan itu yang mahu ditumbangkannya?
Jika benar Tun Mahathir mahu meletakkan jawatan, adakah ternampak tanda-tanda yang memperlihatkan beliau sudah letih dengan tugas-tugasnya?

Atau Tun Mahathir sebetulnya mahu “menembak” orang lain di sebalik ancamannya mahu meletakkan jawatan itu?

Tapi, siapa yang disasarnya kali ini? (ShahbudinHusin 22/10/2018).

Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.