Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENDAKWAAN TERHADAP ZAHID HARUS JADI PERMULAAN UNTUK SPRM MENYIASAT SEMUA BEKAS2 MENTERI

Daripada 45 pendakwaan yang dihadapi oleh Zahid Hamidi semalam, lapan daripadanya paling menjadi sebutan dan bualan, malah menjengkelkan orangramai.

Lapan pertuduhan tersebut ialah berkaitan dakwaan menerima rasuah atau suapan daripada syarikat-syarikat yang memperolehi projek dengan Kementerian Dalam Negeri di mana Zahid Hamidi ketika itu adalah menterinya.

Jumlah wang yang dikaitkan dengan lapan pendakwaan itu berjumlah RM21.25 juta.

Sementara beberapa pemimpin UMNO mengatakan pendakwaan terhadap Presiden UMNO itu adalah bermotif politik atau merupakan pendakwaan terpilih, masyarakat biasa pula terus berbicara dengan pelbagai tafsiran mengenainya, khususnya berkaitan lapan kes tersebut.

Kata mereka, apakah memang menjadi amalan atau perkara biasa bagi seseorang menteri menerima wang daripada syarikat-syarikat yang diberikan projek oleh sesebuah kementerian?

Tidak bolehkah jika mereka tidak menerimanya?
Apakah yang benar-benar mendorong seseorang menteri itu sanggup mengambil wang tersebut, sedangkan ia bukanlah wang yang halal yang sudah tentu bukan sukar pula untuk menentukan halal haramnya?

Apakah seseorang yang menjadi menteri benar-benar memerlukan banyak wang untuk membiayai aktiviti politik mereka?

Ada juga yang mempersoalkan, di manakah keikhlasan para menteri itu dalam memberi khidmat kepada rakyat dan negara jika selain mereka sudah menerima gaji, elaun dan pelbagai kemudahan yang lumayan, tetapi masih sanggup menerima duit suapan daripada syarikat-syarikat yang diberikan kontrak oleh kementerian?

Yang lain pula menyindir sinis, patutlah para menteri, keluarga dan anak isteri mereka selama ini mampu hidup bergaya dengan pakaian serta barangan berjenama mahal sentiasa melakat di badan sepanjang masa.

Di sebalik itu, apakah menteri-menteri lain atau semua menteri selama ini mengamalkan perkara yang sama?

Untuk itu, demi berlaku adil kepada Zahid Hamidi dan untuk mengelakkan wujudnya tanggapan bahawa pendakwaan terhadap Presiden UMNO itu bersifat politik atau merupakan pendakwaan terpilih, apa yang berlaku ini harus membuka ruang yang lebih luas dan terbuka kepada SPRM untuk menyiasat semua bekas-bekas menteri era BN dahulu.

Harta, rumah, kereta, segala kekayaan keluarga, wang dalam simpanan, wang dalam yayasan yang ditubuhkan di kawasan Parlimen masing-masing serta semua syarikat yang pernah diberikan projek ketika mereka menjadi menteri, hendaklah disiasat dengan sedalam-dalam dan setelus-telusnya.

Jika terbukti ada kesalahan atau kecurangan yang dilakukan, maka mereka juga wajar dibawa ke mahkamah untuk diadilil sebagaimana Zahid Hamidi.

Barangkali dengan tindakan tersebut, ia bukan saja dapat membongkar kekayaan hidup para menteri yang selama ini tidak diketahui oleh rakyat, bahkan dapat juga mengikis tanggapan hanya pemimpin tertentu saja yang didakwa di mahkamah.

Jika semua sudah didakwa, di mana lagi boleh dikatakan ia bersifat terpilih?

Lebih daripada itu, tindakan SPRM dalam hal ini turut mampu memberi peringatan kepada menteri-menteri era Pakatan Harapan yang ada sekarang agar mereka juga jangan sesekali berlaku curang dalam tugas dan amanah yang telah diberikan.

Kalau tidak, setelah tidak menjadi menteri nanti, nasib yang serupa juga akan menimpa mereka dan terpaksa berdepan dengan anak cucu untuk membersihkan air muka yang sudah tercalar itu. (ShahbudinHusin 20/10/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x