Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

REAKSI DATUK SERI YANG LANGSUNG TIADA SERI

Daripada lima menteri yang menerima pingat membawa gelaran Datuk Seri sempena ulangtahun kelahiran Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob baru-baru ini, dua daripadanya tampil mempertahankan penerimaan darjah kebesaran itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun menyifatkan pingat yang diterimanya itu memberinya lebih semangat untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Terpulang kepada individu untuk menerima atau tidak pingat, bintang dan darjah kebesaran yang ditawarkan kepada mereka,” tambahnya lagi.

Rina seterusnya sempat menyindir pengkritiknya dengan berkata, “agaknya kalau yang komen itu ditawarkan pingat, mereka akan terima atau tolak?”

Hmmm….beginikah jawapan seorang menteri di era Malaysia Baru?

Adakah jika tanpa pingat, bintang dan gelaran, bermakna beliau sebagai menteri kurang semangat dalam menjalankan tugasnya?

Itukah yang menyebabkan selama ini banyak rungutan mengenai beliau, khususnya daripada pengundi Titiwangsa?

Mudah-mudahan selepas ini, tiada lagi rungutan tentang Rina kerana sejak bergelar Datuk Seri sekarang ini, beliau dengan sendirinya lebih bersemangat, lebih efisien dan bermacam-macam lebih lagi dalam tugasnya sebagai pemimpin kepada rakyat.

Bagaimanapun, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hanya geleng kepala dengan reaksi Rina itu dan berkata, “jawapan macam budak-budak.”

Sementara itu,  Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md. Yusof pula menyatakan beliau sebelum ini telah menolak tiga kali tawaran pingat yang membawa gelaran Datuk Seri yang ditawarkan kepadanya.

“Dahulu tiga tahun berturut-turut mereka hendak beri tapi saya kata belum masanya lagi.

“Kali ini saya terimalah,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka.

Nak tergelak pun ada dengan jawapan Redzuan yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan ini.

Soal menolak tiga kali tawaran pingat Datuk Seri sebelum ini tidak relevan sebenarnya untuk diungkit atau dibuat perbandingan kerana ketika itu beliau belum lagi menjadi wakil rakyat dan menteri.

Cerita dulu-dulu ketika belum jadi wakil rakyat atau menteri, tidak ada kaitan dengan kedudukannya sekarang ini.

Kata seorang kawan, “kalau mahu diungkit cerita dulu-dulu, nenek saya pun dulu pun pernah jadi anak dara.”

Yang dipertikaikan kenapa setuju terima pingat dan gelaran hanya dalam tempoh lima bulan baru bergelar wakil rakyat dan menteri, sedangkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara belum setara mana dan belum dirasai lagi oleh rakyat jelata?

Kenapa dulu tak mahu terima pingat yang ditawarkan itu?

Bukankah jika dulu lagi menerima tawaran Datuk atau Datuk Seri yang ditawarkan itu, tentu tidak timbul apa-apa kritikan sekarang ini?

Apa pun, daripada kedua-dua reaksi menteri bergelar Datuk Seri itu, yang jelas jawapan mereka langsung tidak berseri dan hanya asal ada jawapan saja.

Lebih daripada itu, jawapan yang diberi tak ubah sebiji macam cara berfikir pemimpin UMNO yang menyebabkan parti itu ditolak rakyat akhirnya. (ShahbudinHusin  16/10/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x