Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

"PORT DICKSON – PILIHANRAYA KECIL YANG BESAR ERTINYA"

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyifatkan pilihanraya kecil Port Dickson sebagai pilihanraya yang besar ertinya kepada para pengundi kawasan itu.

Kata beliau, pilihanraya  itu menterjemahkan erti demokrasi yang sebenar untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Ia bermakna pada 13 Oktober nanti terpulang kepada pengundi Port Dickson membuat pilihan sama ada mahu Anwar kembali ke Parlimen atau sebaliknya,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya di perkarangan Masjid Bagan Pinang malam tadi selepas bersama-sama dengan penduduk menyertai solat maghrib dan Isya berjemaah yang kemudian diikuti dengan majlis bacaan yassin, tahlil dan solat hajat.

Ini adalah program pertama di luar Kuala Lumpur yang dihadiri Muhyiddin selepas beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreasnya, tiga bulan yang lalu.

“Inilah pertama kali sejak tiga bulan lalu saya menghadiri program dan menyampaikan ucapan di luar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu dan saya lakukan ini semata-mata untuk menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon PH,” ujar beliau lagi.

Menurut Muhyiddin, kedudukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri adalah perkara yang sudah terkanun dalam muafakat PH dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

“Dan pilihanraya Port Dickson ini adalah proses ke arah itu.

“Oleh yang demikian, pengundi harus membuat pilihan yang tepat pada 13 Oktober nanti kerana ia akan menentukan nasib masa depan kita semua,” tegas Muhyiddin.

Selain Muhyiddin, program malam tadi turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Dr. Rais Yatim serta beberapa pemimpin lain daripada Bersatu dan PKR. (ShahbudinHusin 12/10/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x