Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KEMENANGAN ANWAR ADALAH KEMENANGAN PAKATAN HARAPAN

Kempen pilihanraya kecil Port Dickson nampaknya menjadi semakin rancak dalam sehari dua kebelakangan ini apabila beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan mula menunjukkan muka mereka.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Mohamad Sabu, S Kulasegaran dan beberapa pemimpin lain adalah antara nama-nama yang dikesan paling awal datang berkempen untuk Anwar Ibrahim di Port Dickson ini.

Adalah dipercayai bermula hujung minggu ini dan berterusan sehingga ke hari mengundi pada 13 Oktober, Port Dickson akan terus meriah dengan kehadiran ramai lagi pemimpin daripada PKR, DAP, Amanah serta Bersatu untuk memenuhi program ceramah dan pelbagai acara kempen yang lain.

Meskipun Isa Samad dan calon Pas adalah antara enam pencabar yang ada sedikit pengaruh di Port Dickson, rata-rata yakin Anwar tidak ada masalah besar untuk memenangi pilihanraya ini.
Realitinya, berbanding semua calon lain, lebih ramai yang lain mahu melihat Anwar memenangi pilihanraya kecil ini dengan majoriti yang cemerlang.

Kehadiran Anwar bertanding bukan saja mewakili PKR, tetapi juga sebagai calon PH yang mana dirinya telah disepakati sebagai bakal Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad.

Untuk itu, Anwar bukan saja harus menang pada 13 Oktober ini, tetapi juga mesti dimenangkan dengan perolehan undi serta majoriti yang cukup meyakinkan.

Sebagaimana kita menerima baik apabila Tun Mahathir mahu berbaik dan berjumpa dengannya di mahkamah dulu, malah setuju nama beliau dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8, bahkan dalam usaha merangka beberapa strategi PRU14 pula membuatkan Tun Daim Zainuddin sendiri sanggup menghidupkan lesen guamannya bagi memudahkan berjumpa Anwar di penjara – sikap, pendirian dan hati semua pihak dalam PH juga seharusnya tidak berubah di Port Dickson ini.

Semua orang yang cintakan PH mesti berusaha memenangkan Anwar  seperti mana mereka bekerja memenangkan PH, termasuk kerusi yang ditandingi oleh Tun Mahathir di Langkawi pada PRU14 yang lalu.

Kemenangan cemerlang Anwar di Port Dickson akan terus menjamin kestabilan kerajaan PH secara keseluruhannya daripada sebarang anasir yang cuba menggugatnya.

Ini kerana, jika Anwar tidak menang dengan undi yang selesa, ia tentu sedikit sebanyak akan menggugat kedudukan PH di mata rakyat dan pihak pembangkang akan berterusan mengambil kesempatan daripadanya.

Mulut pengkritik dan pembangkang hanya akan tertutup dengan sendirinya selepas Anwar diumumkan menang dengan kejayaan gemilang pada malam 13 Oktober nanti.

Untuk itu, semua pihak dalam PH tiada pilihan lain selain terus berusaha bersama-sama dan saling berganding bahu ke arah itu. Kemenangan Anwar adalah kemenangan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Selepas Tun Mahathir, Anwarlah yang paling sesuai dan paling tepat untuk menerajui negara ini berdasarkan pengalaman, kecekalan dan hubungan baiknya dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. (ShahbudinHusin 04/10/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x