Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ISA SAMAD TAK DAPAT UNDI UMNO?

Sebagai calon Bebas dan bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang (sekarang ditukar kepada Port Dickson) selama lebih 30 tahun, satu-satu “lombong” yang menjadi sandaran Isa Samad dalam pilihanraya kecil Port Dickson pada 13 Oktober ini ialah undi daripada ahli-ahli UMNO sendiri.

Keadaan itu malah selari dengan sebab utama bekas Pengerusi Felda itu bertanding sebagai calon Bebas adalah kerana UMNO tidak meletakkan calonnya di Port Dickson.

Selain itu, kedudukannya sebagai anak tempatan berbanding Anwar Ibrahim dan calon Pas yang merupakan orang luar, Isa juga bergantung harap kepada rangkaian saudara-maranya yang ramai, terutama di kawasan Bagan Pinang dan Linggi untuk memberi kelebihan kepadanya.

Atas perkiraan itu, Isa dikatakan yakin peluangnya sedang terbuka luas untuk memenangi pilihanraya kecil Port Dickson ini, meskipun beliau hanya bertanding sebagai calon Bebas.

Bagaimanapun, tinjauan awal di beberapa kawasan di Port Dickson mendapati harapan Isa untuk memperolehi undi daripada kalangan ahli-ahli UMNO mungkin tidak kesampaian seperti yang dijangkanya.

Ini kerana ramai ahli dan penyokong UMNO yang merupakan pengundi kawasan itu agak keberatan untuk memberi undi kepada Isa atas alasan beliau bertanding atas tiket Bebas kali ini.

Kata mereka, jika Isa bertanding atas tiket BN, memang mereka tiada masalah untuk menyokongnya, tetapi agar sukar sedikit apabila bertanding atas tiket Bebas kerana ia sudah merupakan wadah yang berbeza dengan UMNO dan BN.

Lagi pun, pemimpin UMNO peringkat atasan sudah mengeluarkan kenyataan memboikot pilihanraya ini.

“Atas sebab itu, kemungkinan besar kami akan turut memboikotnya dengan tidak keluar mengundi,” kata seorang pengundi yang ditemui bersama sekumpulan rakan-rakannya di sebuah kedai makan di pekan Batu 4 Port Dickson, malam semalam.

Beliau juga turut menjangkakan ramai lagi di kalangan pengundi UMNO yang akan bertindak sepertinya.

Dalam perkembangan lain, beberapa Wanita UMNO cawangan juga dikesan akan mengadakan lawatan ke destinasi tertentu untuk mengelakkan ahli-ahlinya mengundi pada 13 Oktober nanti.

Ada yang akan mengadakan lawatan ke Kelantan, Terengganu, Langkawi dan beberapa tempat lain pada tarikh 13 Oktober yang bersamaan dengan hari mengundi itu.

Jika trend ini berlaku secara lebih meluas, harapan Isa untuk memperolehi undi daripada kalangan ahli-ahli UMNO sudah pasti tidak kesampaian dan sekaligus menipiskan peluangnya untuk memberi cabaran yang sengit kepada Anwar.

Selain itu, kekurangan ketara Isa juga ialah pengundi bukan Melayu, tak kira Cina atau India,  dilihat lebih memihak kepada Anwar berbanding dirinya.

Beberapa orang yang sempat ditemui kelihatan sangat teruja dengan kehadiran Anwar sebagai bakal Perdana Menteri yang memilih bertanding di Port Dickson berbanding Isa yang dianggap zamannya telah pun berlalu.

Meskipun Anwar dirasakan tiada masalah untuk mencapai kemenangan, cabaran besar buat PH di Port Dickson ini adalah untuk memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding tiga pilihanraya kecil sebelum ini yang mana peratusannya di bawah 50 peratus.

Lebih tinggi peratusan yang keluar mengundi, majoriti kemenangan Anwar dijangka turut lebih besar dan ia adalah penting untuk memberi gambaran bahawa pengundi Port Dickson amat mengalu-alukan kemenangannya sebagai bakal Perdana Menteri untuk masa depan negara. (ShahbudinHusin 02/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x