Hujung minggu ini, 29 dan 30 September, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya di PWTC, Kuala Lumpur.
Sesuai sebagai parti yang sudah kalah dan hilang kuasa, PAU2018 kali ini hanya diadakan selama dua hari saja berbanding lima hari ketika masih berkuasa dahulu.
Selepas lebih 4 bulan sejak kehilangan kuasa, UMNO yang diterajui oleh Zahid Hamidi ketika ini sedang berdepan kritikan di sana sini berikutan tiada program, aktiviti dan hala tuju yang jelas mampu digerakkannya dalam usaha untuk memulihkan parti.
Zahid Hamidi dilihat seolah-olah tiada upaya dan longlai dalam menggerakkan UMNO, meskipun negara dan kerajaan baru Pakatan Harapan sedang berdepan dengan banyak isu yang perlu ditangani serta boleh diambil peluang untuk menarik sokongan rakyat kembali kepada parti itu.
Lantaran itu, sudah kedengaran ada suara-suara perwakilan yang mahu mengkritik, menghentam malah memintanya meletakkan jawatan dalam PAU2018 ini jika beliau terus tidak mampu dan gagal memacu hala tuju ke arah pemulihan UMNO.
Dan secara tiba-tiba, beberapa hari menjelang PAU2018, Zahid Hamidi bersuara mengenai keterbukaan UMNO untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Katanya, UMNO terbuka ke arah pembentukan kerajaan perpaduan itu sama ada sebelum atau setelah Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.
Kenapa setelah lebih 4 bulan tak berbuat apa-apa, Zahid Hamidi tiba-tiba muncul bersuara dan cakapnya pula tentang kemungkinan UMNO kembali sebagai kerajaan?
Meskipun semua pemimpin parti dalam Pakatan Harapan seperti PKR, DAP dan Bersatu telah menolak idea kerajaan perpaduan itu, tujuan Zahid Hamidi menimbulkannya tidak lain ialah untuk memberi harapan palsu kepada perwakilan PAU2018 agar terus bersabar dan beristiqamah bersama kepimpinannya.
Setidak-tidaknya dengan membayangkan UMNO boleh kembali menjadi kerajaan, malah turut memberitahu pertemuannya bersama beberapa pemimpin UMNO menemui Tun Mahathir baru-baru ini juga adalah bertujuan meneroka ruang kerjasama ke arah itu, Zahid Hamidi berharap dapatlah beliau menyejukkan hati perwakilan yang mula bising dengan kelemahan dan kelembapannya sebagai Presiden UMNO.
Realitinya Zahid Hamidi sedar pembentukan kerajaan perpaduan tidak lebih sekadar janji palsu dan angan-angannya saja kerana Pakatan Harapan sudah ada lebih daripada cukup majoriti dalam mentadbir negara dengan stabil.
Lagi pun, menjemput UMNO yang sudah ditolak rakyat, seperti kata Muhyiddin Yassin, adalah suatu perkiraan yang tidak munasabah bagi Pakatan Harapan kerana ia mungkin mendatangkan kemudaratan yang lebih buruk kepada kerajaan sedia ada. (ShahbudinHusin 28/09/2018)