BOIKOT? BAGAIMANA JIKA MASIH ADA PEMIMPIN UMNO MAHU BERKEMPEN UNTUK ANWAR?

Ramai yang kurang percaya dan hanya tersenyum sinis apabila Presiden UMNO, Zahid Hamidi menyatakan parti itu dan BN akan memboikot pilihanraya kecil Port Dickson yang penamaan calonnya akan diadakan pada 29 September ini, manakala pengundian pada 13 Oktober depan.

Boikot atau takut? Tanya mereka.

Alasan bahawa kononnya UMNO dan BN bertindak memboikotnya kerana ingin menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.6 juta jika pilihanraya diadakan dilihat terlalu sukar untuk diterima dan sekadar hujah yang jengkel.

Sejak bila UMNO dan BN begitu prihatin dengan penjimatan wang kerajaan?

Jika boikot untuk menjimatkan wang kerajaan, kenapa UMNO dan MCA meletakkan calon di Sungai Kandis dan Balakong, walhal kedua-dua kerusi itu juga diketahui amat sukar untuk dimenangi oleh mereka?

Kalau tak bertanding di dua kerusi itu, kan ke dapat menjimatkan duit kerajaan juga?

Adakah BN memboikot Port Dickson kerana takut kalah, walaupun mereka sebetulnya parti yang sudah kalah?

Bagaimana agaknya jika Port Dickson merupakan kerusi yang dirasakan boleh dimenangi oleh UMNO dan BN?

Adakah akan diboikot juga?

Begitu juga dengan alasan lain yang disebut Zahid Hamidi bahawa UMNO dan BN memboikotnya kerana menganggap pilihanraya kecil Port Dickson diadakan semata-mata untuk memenuhi kehendak peribadi pemimpin tertentu saja.

Maksud lebih kurang yang ingin Zahid Hamidi sampaikan ialah pilihanraya kecil itu hanyalah untuk kepentingan dan memenuhi nafsu peribadi Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata.

Betulkah itu alasannya?

Tidakkah Zahid Hamidi sebenarnya lebih suka Anwar diberi laluan yang selesa untuk menjadi Perdana Menteri?

Bukankah sebelum ini Zahid Hamidi pernah meramalkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan tumbang di pertengahan jalan berikutan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan seseorang yang baru keluar penjara?

Bukankah Zahid Hamidi juga memang berimpian untuk membawa UMNO segera menjadi kerajaan tanpa menunggu PRU15 dan dengan demikian akan membolehkannya kembali menganggotai kabinet?

Jika demikian, tak mustahilkah dengan tidak bertandingnya UMNO dan BN Port Dickson juga bertujuan agar kerjasama dengan PKR dan Anwar sentiasa dapat dikembangkan serta disulami dengan bunga-bunga pengharapan?

Bagaimanapun, dengan keputusan UMNO dan BN tidak bertanding itu, apakah akan dilarang pemimpin-pemimpin UMNO seperti Nazri Aziz, Shahidan Kassim, Jamal Md. Yunos dan lain-lain daripada turun berkempen membantu Anwar?

Ketiga-tiga mereka adalah antara pemimpin UMNO yang sebelum ini secara terbuka telah menyatakan mahu berkempen untuk Anwar di Port Dickson.

Kata Nazri, harapan masa depan UMNO kini bergantung kepada Anwar dan PKR dan kerana itu UMNO mesti mula menunjukkan sikap berbaik-baik dengan Presiden PKR itu.

Port Dickson harus dijadikan permulaan untuk berbaik-baik itu, tambah Nazri lagi.

Demikian juga dengan Shahidan Kassim yang bukan saja sependapat dengan Nazri, malah tanpa ragu-ragu menyatakan adalah lebih baik bagi UMNO jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

Dengan itu, selain Nazri, Shahidan dan Jamal, apakah tidak bertandingnya UMNO dan BN di Port Dickson, ruang kini jadi terbuka luas untuk lebih ramai pemimpin parti itu untuk datang berkempen membantu Anwar di Port Dickson? 
Kenapa tiada larangan dikeluarkan? (ShahbudinHusin 25/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments