Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PEMILIHAN DITANGGUH, PELUANG BERSATU KUKUHKAN LAGI PARTI

Barangkali ramai yang sudah sedia maklum bahawa pemilihan dalam Bersatu yang sepatutnya diadakan hujung tahun ini telah dianjak kepada tahun depan.

Bermakna pada hujung tahun ini hanya akan dilangsungkan mesyuarat biasa saja tanpa ada sebarang pemilihan pucuk pimpinan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

Penangguhan itu juga menyebabkan ramai pemimpin Bersatu yang sebelum ini  didapati sibuk memperkatakan tentang pemilihan tidak lagi kedengaran berbuat demikian.

Tidak ada lagi kedengaran siapa nak jadi Naib Presiden, siapa mahu bertanding MPT dan siapa yang bakal dinaik atau ditumbangkan sebagai Ketua Bahagian.

Semuanya senyap sunyi belaka ketika ini.

Tetapi, diamnya mereka daripada bercakap tentang pemilihan itu menyebabkan hampir semuanya juga tidak melakukan apa-apa aktiviti atau kegiatan untuk memperkukuhkan  lagi kedudukan Bersatu.

Di ketika pemilihan ditangguhkan selama setahun ini, semua pemimpin sepatutnya mengambil kesempatan yang ada untuk menambahkan ahli, menubuhkan banyak cawangan serta melakukan aktiviti di peringkat bahagian yang boleh mendekatkan lagi Bersatu kepada masyarakat.

Memang ada bahagian atau pemimpinnya yang terlihat terus aktif menjalankan aktiviti, menambah ahli dan sebagainya, tanpa memikirkan sama ada pemilihan ditangguhkan atau tidak, tetapi berdasarkan penelitian dan tinjauan rambang, jumlahnya boleh dikata terlalu sedikit.

Yang selebihnya, sebaik diketahui pemilihan telah ditangguhkan, mereka juga seolah-olah dapat “cuti rehat”  daripada menggerakkan parti.

Sudah tentu perkara ini bertentangan dengan hasrat dan kehendak Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi dan Presiden Bersatu.

Apa yang semua patut fahami, Tun Mahathir dan Muhyiddin tentunya mahukan tempoh penangguhan selama setahun ini dimanfaatkan oleh pimpinan yang sudah dilantik sebagai penaja untuk menambah jumlah keahlian di bahagian masing-masing.

Meskipun Bersatu sudah berjaya menjadi kerajaan bersama Pakatan Harapan, mereka yang menjadi pemimpinnya tidak harus berpuas hati serta leka dengan pencapaian yang ada.

Cabaran bagi Bersatu masih getir sebenarnya, terutama untuk era mendatang selepas ketiadaan Tun Mahathir atau setelah beliau tidak lagi bergelar Perdana Menteri.

Apakah nasib Bersatu ketika itu?

Satu-satu caranya untuk mengatasi ketidak-tentuan masa depan Bersatu ialah dengan semua peringkat pemimpinnya mesti terus berusaha menambah ahli dan menggerakkan aktivitinya sehingga ia benar-benar mampu menyaingi, atau jika boleh, menjadi pengganti kepada UMNO yang sudah rosak imejnya sekarang ini.

Hanya dengan  mempunyai keahlian yang cukup mantap di samping ketrampilannya yang benar-benar meyakinkan di tengah-tengah masyarakat sebagai pelindung kepada kepentingan Melayu dan Bumiputera, maka barulah Bersatu akan mampu muncul sebagai wadah politik yang segar selepas ini dan sepanjang zaman kemudiannya.

Pokok pangkalnya, kejayaan Bersatu menjadi kerajaan tidak sampai dua tahun selepas penubuhannya jangan sesekali disia-siakan atau terkubur begitu saja selepas ini berikutan kelekaan tidak mahu berusaha lebih keras menambah keahlian dan menggerakkan aktiviti. 
Penangguhan selama setahun ini hampir tidak memberi makna jika pada pemilihan tahun depan jumlah ahli Bersatu masih sama dengan jumlahnya pada tahun ini. (ShahbudinHusin 16/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x