Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PELIK ZAHID INI, SEJAK BILA UMNO BENARKAN AHLINYA TURUN BERKEMPEN UNTUK PARTI LAWAN?

Jika sebelum ini kita berasa pelik dengan tindakan Nazri Aziz yang bertekad akan berkempen untuk Anwar Ibrahim di Port Dickson kerana PKR adalah parti lawan bagi UMNO, rupa-rupanya sikap yang ditunjukkan oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi dalam perkara itu jauh lebih pelik lagi.

Zahid Hamidi dilaporkan berkata, tidak ada tindakan akan diambil terhadap Nazri, biar pun jika dia berkempen untuk Anwar di Port Dickson nanti.

Tidakkah kenyataan Zahid Hamidi itu sesuatu yang pelik?

Sejak bila UMNO membenarkan ahlinya berkempen untuk parti lain, khususnya parti lawan kepada UMNO sendiri?

Bukankah merupakan suatu kesalahan bagi ahli UMNO berkempen untuk parti lain, bahkan sudah ramai sebelum ini yang diambil tindakan sama ada dipecat atau digantung keahlian kerana melakukan perbuatan itu?

Kalau Nazri boleh berkempen untuk Anwar dan PKR di Port Dickson, apakah di lain kali ahli UMNO dibenarkan juga berkempen untuk DAP, Amanah dan Bersatu?

Selain itu, berhubung tindakan Nazri yang mahu berkempen untuk Anwar, Zahid Hamidi juga menyifatkannya sebagai perbezaan pendapat yang harus dialu-alukan.

“Apa perlunya bertindak? Saya tak nampak ada permasalahan. Saya sering meraikan perbezaan pendapat,” kata Zahid Hamidi lagi.

Lagi pelik kenyataan Zahid Hamidi ini!

Wahai Zahid Hamidi yang ada sijil PhD, tindakan Nazri yang masih ahli UMNO tapi turun berkempen untuk Anwar dan PKR bukanlah suatu bentuk perbezaan pendapat sebenarnya.

Kalau ikut perlembagaan UMNO dan tentunya ia bukanlah susah sangat untuk difahami, tindakan berkempen untuk parti lawan adalah suatu kesalahan serius dari segi disiplin dan peraturan.

Lebih-lebih lagi, jika UMNO yang bertanding, berkempen untuk parti lawan adalah perbuatan sabotaj yang nyata.

Susah ke nak memahaminya?

Atau sebetulnya Zahid Hamidi sendiri yang menyuruh Nazri turun berkempen untuk Anwar itu? (ShahbudinHusin 15/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x