Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APAKAH 'LANGKAH PORT DICKSON' AKAN JADI MODAL KEMPEN KEM RAFIZI MENJATUHKAN AZMIN YANG AKHIRNYA MENJADIKAN PKR TERBELAH DUA?

Di sebalik Anwar Ibrahim mungkin sedang teruja untuk kembali sebagai Ahli Parlimen melalui “Langkah Port Dickson” yang diumumkan semalam dan seterusnya makin mendekatkannya kepada pengejaran cita-cita menjadi Perdana Menteri, hakikat yang tidak harus dinafikannya juga ialah PKR yang baru diterajuinya kini semakin melebar perpecahannya.

Bermula dengan tindakan Rafizi Ramli menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR untuk menentang Azmin Ali, ia kemudian disusuli dengan pelbagai serangan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Yang nyatanya kem Rafizi seolah-olah tiada modal kempen lain selain isu Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 dan di ketika yang sama melakukan serangan berterusan kononnya Azmin tidak membantu ke arah itu.

Rafizi juga mendakwa hanya jika beliau menang sebagai Timbalan Presiden PKR, maka  barulah Anwar dapat jadi Perdana Menteri.

Meskipun pertandingan tersebut adalah soal dalam parti, tetapi dengan Rafizi agak berleluasa berkempen sedemikian rupa, PKR dengan sendirinya mula meretak secara perlahan-lahan, tambahan lagi Anwar pula tidak pernah memberi peringatan tegas dalam soal adab dan keceluparan ketika berkempen itu.

Anwar juga seolah-olahnya seronok apabila Rafizi berkempen bermodalnya isu Perdana Menteri itu sedangkan semua pihak maklum ianya adalah permuafakatan Pakatan Harapan yang di dalamnya ada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Apakah Anwar sebenarnya memang memihak kepada Rafizi dan sudah lupa kesetiaan Azmin sejak 20 tahun lalu bersama PKR?

Ia kemudian berterusan lagi apabila hanya kem Rafizi yang dilihat sibuk-sibuk mengumumkan tentang hasrat mahu kembalinya Anwar sebagai Ahli Parlimen dan kawasan mana yang akan ditandinginya di mana akhirnya diberitahu sudah ada tiga kawasan sebagai pilihan.

Apabila dua pemimpin PKR, Tian Chua dan Zuraidah Kamaruddin mempertikaikan perkara tersebut dengan mengatakan ia tidak pernah dibawa dalam mesyuarat, Rafizi membalasnya bahawa ia hanya dibincangkan di kalangan beberapa pemimpin tertentu dalam PKR saja.

“Kenapa hanya dibincangkan di kalangan pemimpin tertentu saja? Sejak bila PKR bertukar menjadi kumpulan kongsi gelap?” soal Tian Chua.

Pertanyaan Tian Chua itu memang tepat dan berasas, lebih-lebih lagi PKR selama ini kononnya amat menjunjung tinggi soal muafakat dan ketelusan, malah seringkali membidas pihak lain yang tidak mengamalkannya.

Walaupun pertanyaan Tian Chua tidak mampu dijawab oleh Rafizi dan beliau terus terdiam sehingga ini, tetapi elemen kongsi gelap dalam PKR rupa-rupanya belum berakhir lagi.

Dalam sidang media semalam ketika mengumumkan perletakan jawatan secara sukarela Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar untuk muncul kembali sebagai Ahli Parlimen, jelas menunjukkan ia hanya dihadiri oleh majoriti daripada kem Rafizi semata-mata.

Di mana pemimpin-pemimpin PKR yang lain dan kenapa dalam soal yang sepenting ini, sidang akhbar itu seolah-olah hanya dihadiri oleh satu pihak saja?

Bukanlah lebih cantik jika sidang akhbar itu dibarisi oleh semua ahli pimpinan pusat PKR yang secara tidak langsung dapat menunjukkan kebulatan muafakat PKR dalam meletakkan Anwar bertanding di Port Dickson dan seterusnya sebagai bakal Perdana Menteri?

Dengan keputusan mewujudkan “Langkah Port Dickson” dan Danyal Balagopal juga sudah pun menghantar surat perletakan jawatannya sepantas semalam, bermakna pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh terdekat dan mungkin bertembung dengan tarikh pemilihan  PKR yang melibatkan pertandingan antara Rafizi dengan Azmin yang tempoh pengundiannya adalah antara 23 September hingga 22 Oktober depan.

Apakah ini bermakna “Langkah Port Dickson”  sengaja diwujudkan bersekali dengan pemilihan PKR untuk membolehkan kem Rafizi menjadikan kempen pilihanraya kecil itu sebagai modal kempennya untuk menjatuhkan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR?

Dalam hal ini, adakah pemimpin PKR dalam kem Azmin seperti Tian Chua, Zuraidah dan Latheefa Koya akan turun sama berkempen membantu Anwar di Port Dickson atau mereka akan memboikotnya?

Yang lebih penting dan menjadi jangkaan banyak pihak – tidak kira sama ada Azmin menang atau Rafizi kalah, lebih-lebih lagi kalau Azmin kalah dan Rafizi menang – PKR memang tidak dapat dielakkan akan mengalami perpecahannya.

Apakah PKR selepas ini sekadar berpecah saja atau akan terbelah dua?

Jika PKR terpecah dua, masih mampukah Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8? (ShahbudinHusin 13/09/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x