Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KIT SIANG HARUS BERJIWA BESAR, TAK SEMUA PERKARA MESTI DISELESAIKAN DI MAHKAMAH

Walaupun Lim Kit Siang bertegas mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Tun Hanif Omar yang didiakwa memfitnahnya, malah peguamnya, Ramkarpal Singh dilaporkan sudah memulakan proses ke arah itu, tetapi pemimpin veteran DAP itu seharusnya boleh menilai kembali tindakannya itu.

Beliau mesti sedar bahawa kini adalah zaman Malaysia Baru yang turut menitikberatkan semangat toleransi, sedia berbincang dan tidak semua pertikaian perlu dibawa ke mahkamah untuk dicari titik penyelesaian muktamad.

Lagi pun, dengan DAP merupakan komponen penting dalam kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara, sikap yang ditunjukkan oleh Lim Kit Siang dalam berhadapan dengan isu ini  boleh mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap parti itu dan sudah tentu dengan bertolak ansur, ia akan memberi keuntungan jangka panjang kepada DAP.

Oleh itu, dalam berhadapan dengan Tun Hanif Omar, seorang bekas Ketua Polis Negara yang disanjung ramai dan mempunyai rekod kerjaya yang cemerlang sebelum ini, Kit Siang seharusnya mempunyai jiwa besar dan tidak menjadikan mahkamah sebagai pemutus kata benar atau salah dakwaan yang ditujukan terhadapnya.

Meskipun barangkali boleh diterima bahawa dakwaan yang dibuat oleh Tun Hanif terhadap Kit Siang yang dikatakan cuba memisahkan Semenanjung kepada dua – Pantai Barat untuk Cina dan Pantai Timur untuk Melayu merupakan suatu tuduhan yang serius dan tidak benar, tetapi beliau juga mengakui ianya berdasarkan laporan yang diterimanya ketika itu berdasarkan apa yang disebut oleh seorang pemimpin DAP yang lain.

Lagi pula, perkara itu sudah lama berlaku dan kini Tun Hanif sudah pun bersara, manakala DAP yang dipimpin oleh Kit Siang telah pun menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang ini.

Maka, seperti mana kata Zaid Ibrahim dalam tulisan di blognya semalam, tidak bolehkah Kit Siang mengajak Tun Hanif untuk berbincang santai mengenainya sambil menghirup teh panas?

Lebih daripada itu, dengan membawa kes berkenaan mahkamah, ia hanya memperlihatkan Kit Siang hanya mementingkan dirinya semata-mata, manakala jika sedia bertolak ansur dan mengadakan pertemuan dengan Tun Hanif pula, ia membuktikan pemimpin DAP berkenaan lebih mengutamakan partinya sebagai wadah masa depan yang boleh diterima rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Pilihan di tangan Kit Siang sebenarnya, malah di ketika kedua-duanya berada di usia senja, tidak banyak untungnya dengan melibatkan mahkamah dalam menentukan pertikaian yang mungkin hanya kebetulan dan tidak disengajakan itu. (ShahbudinHusin 12/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x