Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ZAHID HAMIDI MACAM BISKUT?

Di ketika Najib Razak semakin kerap muncul di tempat awam dan lebih rajin menulis atau menjawab pelbagai isu di media sosial, ramai yang bertanya di mana Zahid Hamidi sekarang ini?

Kenapa beliau lebih banyak mendiamkan diri dan tidak bersuara apa-apa dalam sekian banyak isu yang melanda negara sedangkan jawatannya adalah Presiden UMNO dan Ketua Pembangkang?

Beliau dilihat hanya aktif ketika berkempen untuk jawatan Presiden UMNO sebelum ini dan kemudian terus senyap sehinggalah diketahuitentang pemergiannya menunaikan haji ke Mekah.

Sekembalinya daripada Mekah, tiada apa-apa khabar berita kedengaran mengenai dirinya, tup-tup baru-baru ini beliau muncul sekali dalam kempen pilihanraya di Seri Setia dengan janji, “Insya Allah ana akan datang” ke Muktamar Pas di Kuala Terengganu, hujung minggu ini.

Selepas itu, beliau senyap lagi dan kita mungkin hanya akan melihat gambar-gambarnya berkopiah putih sambil berpeluk dengan Hadi Awang atau Tuan Ibrahim Tuan Man di Muktamar Pas pada 15 dan 16 September akan datang.

“Dia dah macam biskut, sekejap ada sekejap hilang,” kata seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian yang ditanya mengenai gaya kepimpinan Zahid Hamidi sejak beliau memimpin UMNO menggantikan Najib Razak.

“UMNO ada ketua paling lemah ketika ini,” tambah pemimpin bahagian itu lagi.

Ramai yang tidak faham sebenarnya mengapa Zahid Hamidi lebih banyak mendiamkan diri daripada bersuara di ketika negara sekarang ini dilanda pelbagai isu di mana sebagai ketua parti yang sudah jadi pembangkang, beliau seharusnya memainkan peranan yang lebih aktif untuk meraih sokongan rakyat.

“Bahkan, sudah mula kedengaran ada pemimpin UMNO di bawah sudah mula bersungut dengan kepimpinan Zahid Hamidi kerana mereka seolah-olah dibiarkan tanpa haluan seperti “ayam kehilangan ibu” ketika ini.

“Kadang-kadang pula kita rasa macam Lokman Noor Adam saja yang sedang jadi Presiden UMNO,”  tegas pemimpin UMNO bahagian itu seterusnya.

Hairan, kenapa Zahid Hamidi tidak mengaktifkan dirinya sebagai Presiden UMNO sedangkan dulunya bersungguh-sungguh berkempen untuk jawatan tersebut?

Apa yang masih ditunggunya untuk menggerakkan parti?

Apakah beliau bertanding untuk jadi Presiden UMNO dahulu dengan satu harapan bahawa dalam waktu terdekat ini bekas mentornya, Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri dan dengan itu beliau dapat membawa kembali parti pimpinannya yang sudah tiada kuasa untuk berkongsi kuasa?

Namun, apakah apabila Anwar kemudiannya bertegas tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan UMNO apabila beliau menjadi Perdana Menteri, lalu membuatkan Zahid Hamidi terus patah hati dan kecewa? (ShahbudinHusin 11/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x