Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TERLALU CEPAT MAHU DIADAKAN PILIHANRAYA KECIL, BAGAIMANA JIKA ANWAR KALAH?

Walaupun hak Anwar Ibrahim untuk bertanding dan kembali sebagai Ahli Parlimen, malah juga hak PKR dan mana-mana Ahli Parlimen parti itu untuk mengosongkan kerusi, tetapi sentimen pengundi sekarang ini jelas tidak memihak kepada perlunya diadakan satu lagi pilihanraya kecil.

Berdasarkan tiga pilihanraya kecil setakat ini di mana peratusan keluar mengundi adalah di bawah 50 peratus, tidak bijak sebenarnya jika Anwar dan PKR memutuskan untuk mengadakan satu lagi pilihanraya kecil dalam waktu terdekat ini.

Sebab itu pengumuman PKR bahawa Rabu ini akan diputuskan kawasan Parlimen mana Anwar akan bertanding benar-benar membuatkan ramai yang terkejut.

Ia dianggap terlalu awal untuk perkara itu dilakukan dan mendedahkan pengundi kepada satu lagi pilihanraya kecil, sedangkan baru saja beberapa hari lalu berakhirnya pengundian di Seri Setia dan Balakong.

Kenapa Anwar tidak menunggu sehingga pertengahan atau hujung tahun depan untuk bertanding dan menjadi Ahli Parlimen?

Bukankah proses pengundian bagi pemilihan PKR akan berlangsung antara 22 September hingga 28 Oktober ini?

Jika Rabu ini diputuskan kawasan mana yang akan diadakan pilihanraya kecil untuk ditandingi oleh Anwar, bilakah ia hendak diadakan? 

Adakah penghujung tahun ini pilihanraya kecil itu bakal diadakan?

Realitinya, Anwar harus bertenang buat seketika dan jangan terlalu gopoh. Selesaikan pemilihan PKR dahulu dan setelah bertenang seketika, barulah diputuskan soal pilihanraya kecil itu.

Jangan bimbang dengan kerusi Perdana Menteri. Jangan juga terlalu terhasut dengan gerak kempen Rafizi Ramli yang seoah-olah membayangkan kedudukannya sebagai bakal pengganti Tun Mahathir Mohamad sedang tergugat.

Tidak kira sama Azmin atau Rafizi yang terpilih menjadi Timbalan Presiden PKR, ia sama sekali tidak menggugat status Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kerana perkara itu diputuskan melalui kesepakatan empat parti dalam Pakatan Harapan, bukannya oleh siapa yang menjadi pemimpin nombor dua dalam PKR.

Selagi empat parti itu sepakat bahawa Anwar bakal menggantikan Tun Mahathir, tiada sesiapa dapat menggugatnya.

Risiko yang mungkin berlaku dan tidak dapat dielakkan jika satu lagi pilihanraya kecil diadakan dalam waktu terdekat di mana Anwar bertanding ialah bagaimana kalau  peratusan yang keluar mengundi masih juga di bawah 50 peratus?

Tidakkah ia akan memalukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri?

Dan tidakkah lebih memalukan jika pengundi menunjukkan protes dengan tidak memberi undi yang akhirnya menyebabkan Anwar kalah dalam pilihanraya kecil itu?

Sediakah Anwar dan PKR menerima keadaan tersebut?

Kawasan mana yang akan ditandingi Anwar juga terus menjadi teka-teki. Ada yang mengatakan beliau akan bertanding di Pulau Pinang dan ada juga yang meramalkan di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Tidak kurang yang merasakan Anwar lebih sesuai bertanding di Pandan menggantikan Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau akan mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum menjadi Perdana Menteri sebaik berlakunya peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad.

Jika Anwar bertanding di tempat lain selain Pandan, ramai yang mengatakan akan berlaku kejanggalan kerana beliau, Dr. Azizah dan Nurul Izzah akan menjadi tiga beranak yang serentak berada di dalam Parlimen.

Sebagaimana yang disebut pada awal tadi, memang hak Anwar dan PKR untuk memutuskan bila waktunya hendak mengadakan pilihanraya kecil bagi menjadikannya kembali sebagai Ahli Parlimen.

Tetapi, jangan lupa, rakyat dan pengundi juga ada hak mereka. Jika mereka sudah bosan dan meluat, sedangkan BN pun boleh ditumbangkan, apakah tidak mustahil kerana terlalu cepatnya Anwar mahu kembali sebagai Ahli Parlimen dan menjadi Perdana Menteri, beliau akan kalah akhirnya dalam piliharaya kecil yang dirancang itu? 
Siapa yang mahu disalahkan nanti? (ShahbudinHusin 10/09/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x