KENAPA TIDAK MAZLEE SENDIRI YANG MENGUNDUR DIRI?

Walaupun sudah beberapa hari berlaku, isu berkaitan kedudukan Mazlee Malik sebagai Presiden UIA masih lagi belum berakhir.

Secara umum, lebih banyak pihak melahirkan rasa tidak setuju dengan Mazlee sebagai Menteri Pendidikan dan dalam masa yang sama turut menjadi Presiden UIA.

Ia dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu memastikan universiti bebas daripada campurtangan  orang politik.

Meskipun pihak yang menyokong Mazlee cuba berhujah dengan mengatakan Anwar Ibrahim dan Najib Razak ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu turut memegang jawatan Presiden UIA, hujah itu sebetulnya tidak boleh dipakai sekarang.

Ini kerana ketika itu adalah era UMNO, manakala sekarang pula era Malaysia Baru.

Lagi pun, apakah Pakatan Harapan masih mahu meniru UMNO yang sudah ditolak rakyat?

Bukankah Malaysia Baru perlu berbeza dengan UMNO?

Sementara di kalangan masyarakat terus wujud pro dan kontra berhubung perkara itu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, perlantikan Mazlee akan dikaji semula oleh kerajaan.

“Ramai yang beri pendapat. Kita selalu sensitif dengan pendapat orang ramai dan kita akan kaji semula. 

“Kita boleh ubah pendirian kita,” tambah Tun Mahathir lagi.

Dalam waktu yang sama, Mazlee juga dilaporkan mahu mendapatkan nasihat Perdana Menteri berhubung kedudukannya itu.

Kata Mazlee, apabila dirinya sebagai Menteri Pendidikan dilantik sebagai Presiden UIA, beliau akan bekerja secara percuma tanpa gaji tetap, elaun atau kemudahan tertentu, manakala jika individu lain dilantik ke jawatan itu ia akan melibatkan hampir setengah juta ringgit bagi bayaran gaji dan elaun.

“Sebab itu, saya kena runding dengan pihak atasan – Sultan Pahang sebagai pihak yang melantik saya dan juga dengan Tun Mahathir,” katanya lagi.

Kenapa Mazlee perlu susah-susah dan terus mahu menyusahkan Tun Mahathir?

Beliau perlu sedar bahawa masyarakat mahu Pakatan Harapan berbeza dengan kerajaan UMNO dahulu dan sebagai pemimpin, beliau perlu menggunakan kebijaksanaannya sendiri.

Janganlah dibangkitkan soal gaji, eluan atau alasan Anwar dan Najib juga pernah memegang jawatan itu kerana ia tidak relevan sebenarnya. 

Lagi pun, bukan hujah atau alasan itu yang mahu didengar oleh rakyat. 

Yang menjadi persoalan, kenapa tidak beliau secara sukarela menolak atau mengundur diri saja daripada jawatan itu?

Kenapa perlu mahu mendapatkan nasihat Tun Mahathir atau membiarkan kerajaan membuat keputusan mengenai dirinya?

Bukankah lebih wajar Mazlee sendiri tidak menyusahkan Tun Mahathir dan kerajaan dalam hal yang beliau sendiri boleh melakukannya dengan lebih mudah? (ShahbudinHusin 07/09/2018)

Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.