Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENJELASAN HISHAMMUDDIN TAK MEYAKINKAN, MALAH SEPERTI MEMPERBODOHKAN ORANGRAMAI

Selepas beberapa jam didedahkan tentang tiga anggota tentera masih berkhidmat dengannya dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut memberi respon dengan mengarahkan siasatan segera dijalankan, Hishammuddin Hussein akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Melalui laman twitternya, bekas Menteri Pertahanan itu menjelaskan, perkhidmatan tiga anggota tentera berkenaan hanyalah untuk sementara waktu saja.

Katanya, tiga anggota tentera itu sudah lama berkhidmat dengan beliau dan mereka juga mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarganya.

Begitu pun, kata Hishammudin lagi, beliau telah menawarkan ketiga-tiga anggota tentera itu untuk bekerja dengannya di mana jika mereka  bersetuju menerimanya,  mereka perlu berhenti dari Angkatan Tentera dengan serta-merta.

Melihat kepada jawapan atau penjelasan Hishammuddin ini, jelas sekali bahawa ia langsung tidak meyakinkan, malah seperti cuba “memperbodohkan” orangramai.

Di mana logiknya beliau mengatakan ketiga-tiga anggota tentera itu berkhidmat dengannya hanya untuk sementara waktu?

Bukankah sekarang sudah lebih daripada 100 hari beliau bukan lagi menjadi Menteri Pertahanan?

Bolehkah dipanggil sementara waktu jika sudah melebihi tiga bulan lamanya?

Berapa lamakah tempoh sementara waktu yang diperlukan oleh sepupu Najib Razak itu untuk terus menggunakan khidmat tiga anggota tentera berkenaan?

Tidakkah sebaik saja hilang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, khidmat pengiring tentera itu seharusnya ditamatkan seiring dengannya?

Siapakah yang memberi kebenaran kepada tiga anggota tentera itu untuk terus berkhidmat dengan Hishammuddin?

Selain itu, alasan Hishammuddin bahawa ketiga-tiga anggota tentera itu rapat dengan keluarganya lalu terus dikekalkan berkhidmat dengannya langsung tidak boleh diterima oleh logik akal yang waras.

Kenapa dicampur-adukkan soal keluarga dengan khidmat pengiringnya yang merupakan daripada anggota tetap tentera?

Lebih memualkan lagi ialah kenyataan Hishammuddin bahawa ketiga-tiga anggota tentera itu sudah ditawarkan pekerjaan dengannya di mana jika setuju menerimanya, mereka mesti berhenti daripada Angkatan Tentera dengan serta-merta.

Kenapa baru sekarang mereka ditawarkan pekerjaan?

Mengapa tidak mereka ditawarkan pekerjaan setelah beberapa hari selepas 9 Mei lalu iaitu sebaik saja beliau bukan lagi memegang jawatan Menteri Pertahanan?

Mengapa, hanya setelah didedahkan media, baru berbangkit soal ditawarkan pekerjaan itu?

Bagaimana agaknya jika perkara ini tidak didedahkan media?

Adakah ketiga-tiga anggota tentera itu akan terus berkhidmat dengan Hishammuddin  buat selama-lamanya tetapi tetap dikatakan hanya untuk sementara waktu saja? (ShahbudinHusin 25/08/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x