Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SELEPAS ANWAR SAHKAN TIADA KOMPLOT, UNTUK APA LAGI RAFIZI BERTANDING LAWAN AZMIN?

Tahniah dan syabas kepada Anwar Ibrahim kerana dilaporkan telah menegur Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdullah Hamid berhubung dakwaan kononnya wujud komplot yang didalangi oleh Tun Daim Zainuddin untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata dakwaan itu adalah tidak benar kerana tiada sebarang percubaan ke arah itu sebagaimana yang didakwa oleh Abdullah Sani.

Sehubungan itu, beliau juga telah meminta Abdullah Sani agar membuat pembetulan berhubung apa yang pernah didakwanya itu.

“Saya tidak ada masalah dengan Tun Mahathir Mohamad, jadi saya nasihatkan dia agar buat pembetulan, terutama supaya ia tidak terus menular,” kata Anwar lagi.

Selain banyak pihak mahu Anwar berbuat sesuatu menghentikan keceluparan Abdulah Sani, blog ini dalam laporannya pada 17 Ogos lalu juga meminta Presiden PKR itu mengambil tindakan yang sama.

Ini kerana dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar itu, kiranya dibiarkan berterusan, apalagi jika tidak benar, adalah sesuatu yang tidak baik kepada PKR, Pakatan Harapan dan juga perpaduan dalam kerajaan pimpinan Tun Mahathir.

Namun, dengan Anwar sendiri mengesahkan tiada sebarang komplot untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri serta mahu dakwaan berhubung perkara itu diperbetulkan, logiknya tiada keperluan lagi bagi Rafizi Ramli meneruskan percubaannya mahu menjatuhkan Azmin Ali daripada jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini.

Dengan Rafizi bertanding jawatan itu berdasarkan asas perjuangan utamanya untuk memastikan Presiden PKR itu dapat jadi Perdana Menteri, pengesahan tiada komplot oleh Anwar itu secara automatiknya menjadikan hasrat bekas Ahli Parlimen Pandan itu tidak lagi relevan.

Bolehkah juga mulai sekarang Anwar menyatakan sokongannya terhadap Azmin yang telah terbukti kesetiaannya sejak dulu lagi, kalau pun beliau tidak mampu menggesa Rafizi menarik diri daripada bertanding? (ShahbudinHusin 20/08/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x