Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENOLAKAN PEMIMPIN UMNO TERHADAP NAJIB ADALAH TANDA LEMAHNYA ZAHID HAMIDI

Di sebalik riuh rendah para pemimpin UMNO mempertikaikan janji 100 hari Pakatan Harapan yang didakwa tidak ditunaikan, parti itu sendiri, dalam tempoh yang sama, pada hakikatnya lebih kelam kabut dan bercelaru berbanding sebelumnya.

Belum pun sampai 100 hari hidup tanpa kuasa, meskipun Najib Razak sudah meletakkan jawatannya sebagai presiden, kecuali masih kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan, satu demi satu para pemimpinnya bersuara untuk menolak, menjauhkan diri, menyifatkannya sebagai beban, sudah jadi sejarah, mencadangkan disingkir daripada parti serta digantung keahlian bekas Perdana Menteri itu.

Najib yang dahulunya dipuja, disanjung, dicium tangannya, bahkan bau peluhnya juga dianggap wangi, dengan tiba-tiba dan belum pun sampai 100 hari tanpa kuasa, sudah pun dianggap individu yang tidak diperlukan lagi.

Kenapakah begitu cepat mereka yang pernah menerima wang, mendapat projek dan menerima habuan jawatan mahu melupakannya?

Selain daripada itu, UMNO juga nampak makin keliru tentang hala tuju baru yang mahu dilaluinya sekarang ini.

Sekejap mereka melihat Pas sebagai rakan kongsi yang perlu diakrabkan lagi hubungan demi memartabatkan Melayu dan Islam, tetapi sekejap yang lain pemimpin yang sama menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan DAP pula.

Bukankah selama ini DAP dianggap musuh yang nyata oleh  UMNO, bahkan dikutuk habis-habisan sebagai ancaman kepada Melayu, Islam dan juga negara?

Kenapa sekarang mahu berbaik dan bolehkah UMNO bekerjasama dengan parti itu?

Tidak takutkah nanti Lim Kit Siang akan jadi Perdana Menteri?

Lagi pula, bagaimana UMNO hendak bekerjasama dengan DAP di ketika mereka masih berdakap mesra dengan Pas?

Di waktu yang lain, para pemimpin UMNO terlihat ghairah bercakap kononnya mahu menguatkan parti itu saja dan melupakan BN, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan konkrit diputuskan mengenainya.

Apa sebenarnya yang mereka mahu dan jalan mana yang hendak dilalui?

Daripada semua apa yang berlaku kepada UMNO sekarang ini, baik mengenai penolakan terhadap Najib atau tentang kekeliruan hala tuju parti itu, yang jelas ia memperlihatkan lemahnya Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Sebagai peneraju baru UMNO, sebaik saja menjadi presiden, Zahid Hamidi bukan saja seharusnya menetapkan hala tuju yang jelas dan tetap, bahkan juga sepatutnya menangani isu berkaitan Najib sejak daripada awal lagi.

Memandangkan Zahid Hamidi tentunya tidak sukar memahami bahawa punca utama kekalahan BN dalam pilihanraya lalu adalah kerana Najib, beliau semestinya sejak awal lagi berterus-terang agar bekas Perdana Menteri tidak mencampuri lagi urusan parti selepas berundur pada pertengahan Mei lalu.

Jika itu dilakukannya, Najib pasti tidak akan terhegeh-hegeh lagi mencampuri urusan UMNO, termasuk turun berkempen di Sungai Kandis yang akhirnya membuatkan ramai pemimpin UMNO seperti Johari Ghani, Annuar Musa, Khaled Nordin, Dr. Latif Ahmad dan beberapa yang lain mengeluarkan kenyataan terbuka mencemuh serta menolaknya.

Paling penting, Zahid Hamidi juga patut menetapkan hala tuju dan dengan siapa UMNO hendak bekerjasama apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan parti.

Kalau itu dilakukan, tidaklah caca marba dan celaru sehingga dua tiga pemimpinnya bercakap dengan nada yang jelas kontra yang dalam masa yang sama membuatkan ramai orang ketawa dibuatnya.

Begitu juga jika Zahid Hamidi ada ketegasan, beliau juga sepatutnya tidak memalukan UMNO yang dipimpinnya dengan membenarkan ada pihak lain membuat kutipan derma bagi membayar wang jaminan yang diperlukan Najib.

Apakah Zahid Hamidi sendiri tidak mampu membantu sebanyak RM500 ribu untuk membayar wang jaminan, bukan saja atas rasa tanggungjawab sebagai presiden tetapi juga untuk menghargai tapak awal bermulanya karier politik beliau di peringkat nasional adalah disebabkan pernah diambil bekerja sebagai setiausaha politik Najib?

Pendeknya, di sebalik UMNO hanya melihat janji 100 hari Pakatan Harapan sebagai asas menyerang pihak lawan, Zahid Hamidi juga harus belajar lebih kerap menatap cermin di pelbagai sudut untuk melihat kelemahan sendiri yang pada hakikatnya lebih banyak lagi jumlahnya.

Diperkatakan di merata-rata, jika beginilah cara beliau memimpin UMNO, paling kurang tiga kali pilihanraya umum lagi pun Pakatan Harapan tetap akan terus memerintah negara ini. (ShahbudinHusin 10/08/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x