Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ADUHHH…KEJADIAN INI BARANGKALI HANYA BERLAKU DI MALAYSIA SAJA!!!

Ini betul-betul suatu kejadian pelik dan ganjil yang barangkali tidak pernah berlaku di mana-mana negara lain di dunia ini.

Selain pelik dan ganjil, orang juga mungkin hairan mengapa ia berlaku di Pejabat Perdana Menteri – suatu premis yang tidak sepatutnya kejadian seperti itu boleh berlaku.

Pada malam 9 Mei lalu di mana BN tewas pada malam tersebut, sekumpulan 17 pengawal keselamatan di Pejabat Perdana Menteri telah memasuki pejabat Najib Razak dan mencuri wang RM3.5 juta yang dipercayai merupakan sebahagian daripada dana pilihanraya.

Mereka menyapu kesemua wang yang ditemui itu dan membahagi-bahagikannya sesama sendiri.

Kesemua suspek kini ditahan reman untuk penyiasatan berikutan pihak berkuasa mula mengesannya apabila mendapati  mereka mula menayang kemewahan selepas pilihanraya umum lalu.

Daripada mereka juha dirampas wang berjumlah RM840,700 serta 9 motorsikal bernilai RM90,000.

Selain kejadian ini umpama kata pepatah – harapkan pagar, pagar makan padi – lebih daripada itu ia juga memberi maksud yang lebih mendalam lagi jika dikaitkan dengan pelbagai dakwaan yang berlaku kepada Najib selama ini.

Sejak meletusnya skandal 1MDB dan di dalam akaun bank peribadinya disahkan ada wang berjumlah RM2,600 juta, Najib seringkali dituduh sebagai pencuri, khususnya oleh Tun Mahathir Mohamad.

Meskipun Najib mengatakan wang tersebut merupakan derma, hakikatnya sukar untuk sesiapa mempercayainya, malah kata Tun Mahathir – orang Arab gila pun tak akan menderma sebanyak itu.

Lantaran itu, selain Najib gagal membuktikan siapa yang didakwanya menderma wang itu kepadanya, menjelang PRU14 lalu di mana beliau akhirnya kecundang dan hilang kuasa, tuduhan yang mengaitkan beliau sebagai pencuri adalah paling popular dan telah bergema di seluruh pelusuk negara.

Tidak dinafikan bahawa skandal 1MDB dan kaitan Najib dengan wang yang ditemui dalam akaun bank peribadinya yang dianggap sebagai wag curi adalah penyumbang utama kepada kekalahan BN dalam pilihanraya lalu.

Rakyat dan pengundi secara umumnya tidak rela berterusan mempunyai seorang Perdana Menteri yang dikaitkan dengan dakwaan mencuri, lebih-lebih apabila Tun Mahathir berulang-ulang menyebutnya secara terbuka.

Apabila berlaku kejadian 17 pengawal keselamatan mencuri wang di pejabat Najib, persoalan yang tentu bermain di fikiran ramai ialah mengapakah mereka tergerak hati untuk melakukan perbuatan itu?

Bagaimana mereka tahu ada wang yang banyak di pejabat Najib?

Adakah mereka melakukannya kerana percaya wang yang dicuri itu juga adalah wang curi?

Aduhhh….(ShahbudinHusin 09/08/2018).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *